Accessibility Tools

Skip to main content

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat


Dataran Maharani dinaik taraf, rakyat diseru sokong produk usahawan tempatan

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA BHARU, 26 Jun — Dataran Maharani dinaik taraf oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) menjadi ruang ekonomi dan rekreasi baharu di tengah bandar dan diharap dapat menyemarakkan budaya membeli produk keluaran usahawan tempatan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri.

Kenyataan itu dizahirkan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat ketika merasmikan Majlis Pelancaran KALA @ Dataran Maharani di Dataran Maharani, di sini, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemandu KALA PKINK berkata, inisiatif itu membuktikan komitmen PKINK dalam menyokong agenda pembangunan Kerajaan Negeri menerusi penyediaan prasarana yang memberi manfaat langsung kepada rakyat serta komuniti perniagaan.

Menurutnya, kemudahan yang disediakan mampu menceriakan kawasan sekitar Bangunan PKINK dan membuka lebih banyak peluang ekonomi dan mewujudkan persekitaran yang kondusif kepada pembangunan bandar yang berdaya saing serta mampan.

“Syabas dan tahniah kepada PKINK atas kejayaan menaik taraf Dataran Maharani sebagai satu inisiatif membantu Kerajaan Negeri membangunkan bandar Kota Bharu.

“Semoga rakyat setempat dapat menumpang manfaat daripada kemudahan yang telah disediakan bagi menjamin pertumbuhan ekonomi yang berdaya saing dan mapan di sekitar kawasan ini, selain meningkatkan tahap keceriaan serta suasana di pekarangan Bangunan PKINK,” katanya.

Menurutnya lagi, PKINK sebagai agensi pembangunan ekonomi negeri terus memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi Kelantan menerusi pelbagai sektor termasuk perkhidmatan, perladangan dan pertanian.

Tambahnya, usaha tersebut diterjemahkan melalui penyertaan syarikat di bawah PKINK seperti DAMAI yang menawarkan jualan longgok durian, selain KALA Sentral yang menghimpunkan pelbagai produk makanan, minuman dan kraftangan keluaran usahawan tempatan.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat agar terus menyokong produk keluaran usahawan Kelantan dengan menjadikan budaya membeli barangan tempatan sebagai amalan harian.

“Marilah kita bersama-sama berbelanja dan membeli produk-produk usahawan negeri ini sebagai tanda sokongan terhadap perniagaan tempatan yang menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Kelantan.

Sehubungan itu, aktiviti keusahawanan sememangnya sinonim dengan masyarakat Kelantan dan sokongan berterusan terhadap perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) amat penting kerana sektor tersebut merupakan antara pemacu utama ekonomi serta sumber pendapatan rakyat.

Beliau berharap Dataran Maharani akan berkembang sebagai hab ekonomi komuniti yang merancakkan aktiviti perniagaan, memperluas pasaran usahawan tempatan serta menjadi destinasi pilihan pengunjung di bandar raya Kota Bharu.

Pautan berjaya disalin!