Accessibility Tools

Skip to main content

FAM Trip Jakarta–Kelantan buka peluang pasaran serantau

Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 27 Jun — Program Familiarisation Trip (FAM Trip) Jakarta–Kelantan membuka peluang baharu kepada Negeri Kelantan untuk menembusi pasaran pelancongan Indonesia menerusi promosi secara langsung oleh pengamal media dan pempengaruh negara itu, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai destinasi pilihan di rantau Asia Tenggara.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerjasama strategik antara AirAsia dan Kerajaan Negeri Kelantan menjadi pemangkin penting dalam memperluas jaringan pelancongan serantau serta menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Makan Malam sempena Program FAM Trip Jakarta–Kelantan 2026 yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, semalam.

Menurutnya, program anjuran AirAsia dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan itu merupakan platform strategik untuk memperkenalkan produk pelancongan negeri kepada pasaran Indonesia yang mempunyai potensi besar.

“Kerajaan Negeri Kelantan amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan AirAsia dalam menjayakan program yang amat bermakna ini, khususnya dalam usaha memperkenalkan Kelantan kepada pasaran Indonesia.

“Kerjasama strategik antara AirAsia dan Kerajaan Negeri Kelantan ini membuktikan komitmen bersama dalam memperkukuh hubungan pelancongan serantau serta menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada AirAsia kerana mengambil inisiatif membawa wakil media dan pempengaruh dari Indonesia bagi mengenali dengan lebih dekat produk pelancongan di Kelantan.

Katanya, pengalaman yang diperoleh peserta sepanjang program diyakini mampu diterjemahkan kepada promosi lebih meluas melalui platform media dan media sosial masing-masing.

Program tersebut melibatkan penyertaan sepuluh pempengaruh media sosial, lima wakil media dari Indonesia serta lima wakil AirAsia yang mempunyai pengaruh besar dalam mempromosikan destinasi pelancongan kepada jutaan pengikut dan pembaca.

Sepanjang 21 hingga 24 Jun lalu, para peserta dibawa menikmati pengalaman pelancongan di Pulau Perhentian sebelum meneruskan lawatan ke Kelantan.

Seterusnya, pada 24 hingga 27 Jun, peserta mengikuti pelbagai pengisian yang diselaraskan Tourism Kelantan meliputi warisan budaya, gastronomi, pelancongan komuniti, seni dan kraf tempatan serta destinasi pelancongan utama di negeri ini.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, pembukaan laluan penerbangan terus Jakarta–Kota Bharu merupakan satu pencapaian penting yang mampu meningkatkan keterhubungan serantau.

“Laluan ini bukan sahaja memudahkan kemasukan pelancong Indonesia ke Kelantan, malah membuka peluang baharu dalam sektor pelancongan, perdagangan, pendidikan dan pelaburan.

“Kelantan kini berada pada kedudukan yang lebih strategik sebagai pintu masuk ke Pantai Timur Malaysia dan selatan Thailand,” jelasnya.

Beliau juga menegaskan, kerajaan negeri komited untuk terus memperkukuh industri pelancongan melalui kerjasama erat dengan syarikat penerbangan, agensi pelancongan dan rakan strategik antarabangsa.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada para penaja yang menjayakan program berkenaan iaitu Nasrom Travel & Tours, Renai Hotel Kota Bharu, Ekspres Perdana dan Kemasin Beach Resort.

Pautan berjaya disalin!