Accessibility Tools

Skip to main content

Dr Wan Martina gesa penguatkuasaan lebih tegas, tanpa kompromi bendung ancaman dadah

Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 27 Jun — Tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas, menyeluruh dan tanpa kompromi terhadap pengedar serta sindiket dadah perlu diperkasakan bagi membendung ancaman penyalahgunaan dan pengedaran dadah yang terus mengancam keselamatan negara.

Ahli Dewan Negara YB Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, usaha pencegahan, pendidikan, rawatan dan pemulihan perlu diteruskan secara bersepadu, namun penguatkuasaan terhadap sindiket pengedaran dadah tidak boleh dikompromi.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan sempena Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan Dadah dan Pengedaran Haram yang disambut pada setiap 26 Jun.

Menurutnya, penyalahgunaan dadah bukan lagi sekadar masalah sosial, sebaliknya menjadi ancaman besar yang menjejaskan kesejahteraan individu, institusi keluarga, pertumbuhan ekonomi serta keselamatan negara.

“Gejala penyalahgunaan dadah kini semakin membimbangkan apabila bukan sahaja melibatkan golongan dewasa, malah turut menjerat remaja dan belia yang merupakan aset penting negara.

“Pada masa sama, sindiket pengedaran dadah semakin licik memanfaatkan teknologi moden serta rangkaian antarabangsa bagi memperluaskan kegiatan jenayah mereka,” katanya, pada Jumaat.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan memperkukuh penguatkuasaan undang-undang sedia ada serta menilai semula akta berkaitan agar hukuman yang dikenakan benar-benar memberi kesan pencegahan terhadap pihak yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

Beliau turut mencadangkan agar kawalan di pintu masuk negara, kawasan sempadan dan laluan yang dikenal pasti sebagai lokasi penyeludupan dipertingkatkan melalui penggunaan teknologi moden serta kerjasama strategik antara agensi penguat kuasa.

“Usaha membanteras rasuah dan kebocoran maklumat yang boleh membantu sindiket dadah juga perlu diberi perhatian serius. Tiada ruang harus diberikan kepada mana-mana pihak yang bersekongkol dengan penjenayah sehingga mengancam keselamatan rakyat,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa agar program kesedaran awam diperkasakan menerusi penglibatan sekolah, institusi pengajian tinggi, pertubuhan masyarakat, badan agama dan pemimpin komuniti bagi menyemai budaya membenci dadah dalam setiap lapisan masyarakat.

Beliau menegaskan, ancaman dadah bukan sekadar masalah individu, sebaliknya cabaran besar yang boleh menjejaskan masa depan negara sekiranya tidak ditangani secara menyeluruh.

“Justeru, semua pihak perlu berganding bahu memerangi penyalahgunaan dan pengedaran dadah demi melahirkan masyarakat yang sihat, sejahtera dan bebas daripada pengaruh najis dadah,” sarannya.

Pautan berjaya disalin!

Baca Yang Lain