Accessibility Tools

Skip to main content

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Hilmi Abdullah


Kes denggi di Kelantan turun 63.5 peratus setakat 20 Jun - Exco Kesihatan

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media YB Hilmi Abdullah

KOTA DARULNAIM, 28 Jun – Kelantan merekodkan penurunan sebanyak 63.5 peratus kes demam denggi setakat 20 Jun tahun ini apabila sebanyak 319 kes dilaporkan berbanding 875 kes dalam tempoh sama pada 2025.

Demikian kenyataan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah menerusi media sosialnya, pada Sabtu.

Katanya, hanya tiga daerah di negeri ini yang mencatatkan bilangan kes tertinggi ialah Kota Bharu dengan 110 kes, diikuti Bachok (52 kes) dan Pasir Mas (37 kes).

"Negeri ini  turut merekodkan satu kematian akibat komplikasi demam denggi tahun ini berbanding tiada kematian dalam tempoh sama tahun lalu.

"Walaupun hanya melibatkan satu kes, setiap kematian akibat denggi merupakan satu kehilangan yang amat kita kesali dan perlu dijadikan peringatan kepada semua pihak," jelasnya.

Sebelum itu, beliau merasmikan Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 1.0 Peringkat Negeri Kelantan yang dianjurkan bersama Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Pejabat Kesihatan Daerah dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) di Jalan Sri Cemerlang, Kota Bharu, semalam.

Menurut YB Hilmi lagi, penyakit demam denggi masih merupakan satu cabaran kesihatan awam yang memerlukan perhatian serius.

Beliau memetik statistik, Malaysia mencatatkan sebanyak 33,367 kes denggi sehingga 13 Jun 2026, iaitu peningkatan 20.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Jumlah tersebut meletakkan Malaysia di kedudukan ketiga tertinggi dalam kalangan negara ASEAN selepas Indonesia yang mencatatkan 39,672 kes dan Vietnam sebanyak 35,986 kes.

"Selain itu, jumlah kematian akibat komplikasi denggi turut menunjukkan peningkatan sebanyak 43.8 peratus, iaitu daripada 16 kematian pada tahun 2025 kepada 23 kematian pada tahun 2026," ujarnya.

Mengulas mengenai Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes, YB Hilmi berkata, program itu menjadi platform penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai tanggungjawab bersama dalam menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Sehubungan itu, beliau menyeru setiap keluarga meluangkan sekurang-kurangnya 10 minit setiap hujung minggu untuk memeriksa kawasan rumah masing-masing bagi memastikan tiada bekas yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk.

"Amalan mudah ini, jika dilakukan secara konsisten, mampu memberikan impak yang besar dalam mengurangkan risiko penularan denggi," katanya.

Beliau berharap program seumpama itu tidak terhad kepada acara berkala semata-mata, sebaliknya dijadikan budaya hidup dalam masyarakat dengan menjadikan kebersihan persekitaran sebagai tanggungjawab bersama demi mewujudkan komuniti yang sihat, selamat dan bebas daripada ancaman penyakit bawaan vektor.

Pautan berjaya disalin!