Accessibility Tools

Skip to main content

Jambatan baharu bernilai RM500,000 tamatkan masalah perhubungan penduduk Kampung Sungai Pas ketika banjir

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KUALA KRAI, 28 Jun – Pembinaan jambatan baharu bernilai RM500,000 di Kampung Sungai Pas berjaya menamatkan masalah perhubungan yang sekian lama dihadapi penduduk apabila kawasan itu dilanda banjir atau hujan lebat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Mengkebang YB Zubir Abu Bakar berkata, pembinaan kemudahan tersebut membuktikan keprihatinan kerajaan negeri dalam menyediakan infrastruktur yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, khususnya penduduk luar bandar.

Menurutnya, sebelum ini penduduk di Kampung Sungai Pas sering berdepan kesukaran akibat terputus hubungan apabila jambatan lama yang uzur dan berkedudukan rendah ditenggelami air setiap kali musim banjir atau apabila hujan lebat di kawasan hulu sungai.

“Alhamdulillah, dengan siapnya jambatan baharu ini, masalah penduduk yang terputus hubungan ketika musim banjir telah dapat diselesaikan.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri atas keprihatinan dalam menyediakan kemudahan yang amat diperlukan oleh rakyat di kawasan ini,” katanya dalam media sosial, semalam.

Beliau bersyukur kemudahan tersebut memberi manfaat secara langsung kepada sepuluh keluarga yang menetap di seberang sungai dan sebelum ini berdepan kesukaran untuk berulang-alik apabila paras air meningkat.

Menurutnya, selain memudahkan urusan harian penduduk yang tinggal di seberang sungai, jambatan baharu itu turut digunakan oleh kebanyakan penduduk Kampung Sungai Pas sebagai laluan ke kebun masing-masing.

Beliau berharap pembinaan infrastruktur yang lebih kukuh dan selamat itu membolehkan penduduk menggunakan laluan berkenaan dengan lebih selesa dalam jangka masa panjang.

Pautan berjaya disalin!