Bekalan air di Mengkebang diganti paip, bina telaga jejari baharu - YB Zubir
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KUALA KRAI, 28 Jun – Usaha menambah baik sistem bekalan air di Mengkebang terus dilaksanakan menerusi penggantian paip lama di Kampung Slow Bedal serta kelulusan pembinaan sebuah telaga jejari (tubewell) baharu di Kuala Nal bagi memberi manfaat kepada penduduk yang telah lama berdepan masalah bekalan air bersih.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Mengkebang, YB Zubir Abu Bakar berkata, tindakan pantas Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) menghantar paip baharu bagi menggantikan paip lama di Kampung Slow Bedal merupakan langkah positif dalam usaha menyelesaikan masalah bekalan air yang dihadapi penduduk.
Menurutnya, penggantian paip tersebut diharap dapat mengatasi gangguan bekalan air yang telah sekian lama membelenggu penduduk di kampung berkenaan.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada AKSB atas tindakan pantas menghantar paip baharu bagi menggantikan paip lama di Kampung Slow Bedal.
“Semoga usaha ini dapat menyelesaikan masalah bekalan air yang dihadapi penduduk di kampung tersebut,” katanya dalam medianya, semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Zubir berkata, kerajaan negeri turut meluluskan pembinaan sebuah telaga jejari (tubewell) baharu di Kuala Nal sebagai langkah memperkukuh sistem bekalan air di kawasan berkenaan.
Menurutnya, pembinaan telaga jejari itu akan memberi manfaat kepada penduduk Bedal dan Bukit Sireh yang telah lama berdepan masalah mendapatkan bekalan air bersih.
Beliau memaklumkan, pelaksanaan penggantian paip dan pembinaan telaga jejari merupakan dua langkah penting yang saling melengkapi dalam usaha meningkatkan sistem bekalan air demi kesejahteraan penduduk.
Beliau berharap semua inisiatif yang sedang dilaksanakan itu dapat memberi penyelesaian yang berkesan terhadap isu bekalan air, sekali gus membolehkan penduduk menikmati kemudahan asas yang lebih baik pada masa hadapan.










