Accessibility Tools

Skip to main content

Menteri Besar Kelantan, YAB Dato' Panglima Ustaz Dato' Mohd Nasuruddin Daud


1,494 pelajar cemerlang SPM, STPM dan STAM 2025 terima anugerah Kerajaan Kelantan

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 28 Jun - Sebanyak 1,494 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2025 yang mencatat keputusan cemerlang menerima Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan berupa wang tunai RM500 daripada Kerajaan Negeri Kelantan, hari ini.

Penyampaian anugerah disempurnakan Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Ustaz Dato' Mohd Nasuruddin Daud pada majlis yang berlangsung di Dewan Tok Guru Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Dalam ucapannya, Dato' Mohd Nasuruddin berkata, jumlah pelajar cemerlang di Kelantan terus menunjukkan peningkatan daripada 1,300 orang tahun lalu kepada 1,494 orang pada tahun ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM747,000 bagi menghargai pencapaian pelajar terbabit.

"Hari ini kita belanja RM747,000 dan in sya-Allah jika jumlah pelajar cemerlang terus meningkat pada tahun-tahun akan datang, kerajaan sanggup berbelanja walaupun mencecah jutaan ringgit untuk anak-anak kita.

"Biar kita miskin harta asalkan jangan miskin ilmu. Allah mengangkat kedudukan orang yang mempunyai ilmu," katanya.

Beliau turut mengingatkan pelajar supaya terus mengekalkan kecemerlangan apabila melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Katanya, pelajar perlu bertekad menjadi cemerlang di universiti selain tidak mudah terpengaruh dengan kejutan budaya dan persekitaran baharu.

"Kejutan budaya juga satu penyakit. Apabila berada di universiti, kita akan bertemu rakan daripada pelbagai negeri dan negara. Jangan mudah terpengaruh, sebaliknya pastikan kita mempunyai identiti sendiri.

"Kita ada kelainan daripada segi akhlak, disiplin dan pencapaian akademik. Itulah identiti pelajar Kelantan," jelasnya.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri berhasrat untuk melahirkan generasi berilmu yang memiliki akhlak serta dapat menabur bakti kepada masyarakat.

"Anak-anak semua adalah harapan ibu bapa, guru, masyarakat, negeri dan negara.

"Kita mahu melihat pelajar Kelantan apabila tamat pengajian nanti dapat menabur bakti kepada masyarakat serta berada di kedudukan tertinggi dalam pelbagai sektor di negeri dan negara," katanya.

Pada majlis sama, anugerah turut disampaikan kepada pelajar cemerlang STPM 2025 peringkat kebangsaan, Siti Maisarah Yahya Lotfi dari Tumpat yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0.

Turut diadakan ialah penyerahan cek cura kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Untuk rekod, Kerajaan Negeri Kelantan membelanjakan sebanyak RM9.591 juta bagi Anugerah Kecemerlangan Pelajar sejak ia mula dilaksanakan pada tahun 2006.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat, Mufti Kerajaan Negeri Kelantan YB Sahibul Samahah Dato' Kaya Perba, Dato' Mohamad Shukri Mohamad, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Kelantan YB Dato' Biji Sura Dato' Nik Abdul Kadir Nik Mohamad, Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK) Shamsul Abu Bakar dan Pengarah PTPTN Negeri Kelantan, Hamdan Razali.

Pautan berjaya disalin!