Accessibility Tools

Skip to main content

Padang awam Kuala Nal bernilai RM300,000 dibina bermula Ogos depan

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KUALA KRAI, 28 Jun – Hasrat penduduk di Kampung Baru Kuala Nal untuk memiliki sebuah padang awam bakal menjadi kenyataan apabila projek pembinaannya yang melibatkan kos kira-kira RM300,000 dijadualkan bermula pada Ogos ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Mengkebang YB Zubir Abu Bakar berkata, pembinaan kemudahan sukan itu merupakan antara komitmen yang ditawarkan beliau kepada rakyat semasa pilihan raya lalu dan kini berada pada fasa pelaksanaan.

Menurutnya, projek berkenaan dijangka mengambil masa kira-kira dua bulan untuk disiapkan sebelum dapat dimanfaatkan oleh masyarakat setempat sebagai pusat aktiviti riadah dan sukan.

“Pembinaan padang awam ini merupakan salah satu sasaran yang saya tawarkan kepada rakyat semasa pilihan raya lalu. Alhamdulillah, projek ini kini menuju ke fasa pelaksanaan.

“Semoga segala urusan pembinaan berjalan lancar dan kemudahan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat bagi mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah,” katanya menerusi media sosial, hari ini.

Terdahulu, YB Zubir diiringi Pengarah Belia dan Sukan Negeri Kelantan Saifuddin Zakaria meninjau tapak pembinaan Padang Awam Kampung Baru Kuala Nal bersama beberapa wakil agensi berkaitan bagi melihat persiapan awal sebelum kerja-kerja pembinaan dimulakan.

YB Zubir berharap pembinaan padang awam itu akan menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti di Kampung Baru Kuala Nal serta menyediakan kemudahan rekreasi yang selesa dan berkualiti untuk dinikmati penduduk setempat bagi tempoh jangka panjang.

Pautan berjaya disalin!