PERAKAN Malaysia sumbang RM10,000 kepada mangsa kebakaran Kampung Gok Kapor
Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 28 Jun — Persatuan Anak Kelantan di Perantauan (PERAKAN) Malaysia menyalurkan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada mangsa kebakaran Kampung Gok Kapor hasil kutipan yang digerakkan oleh cawangan persatuan itu di seluruh negara sebagai tanda solidariti dan keprihatinan terhadap keluarga yang terjejas.
Sumbangan tersebut diserahkan oleh Bendahari Agung PERAKAN Malaysia Mohd Zainadi Abdullah kepada Exco Kerajaan Negeri Kelantan merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Kijang YB Dato' Dr Izani Husin untuk disalurkan kepada mangsa dalam satu majlis di Pusat Khidmat DUN Kijang, di sini, hari ini.
Mohd Zainadi berkata, kutipan itu digerakkan sejurus selepas tragedi kebakaran berlaku hasil sokongan cawangan-cawangan PERAKAN Malaysia di seluruh negara.
“Kutipan ini mencerminkan semangat kebersamaan warga PERAKAN Malaysia dalam membantu mereka yang ditimpa musibah.
“Kami berharap sumbangan ini dapat meringankan sedikit beban mangsa serta menjadi tanda bahawa mereka tidak bersendirian dalam menghadapi ujian ini,” katanya.
Menurutnya, PERAKAN Malaysia akan terus menyokong usaha kebajikan yang memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya ketika berlaku bencana atau musibah.
Majlis penyerahan sumbangan itu turut disaksikan Pengarah Urus setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) Razuan Awang Hamad.
Dato' Dr Izani berbesar hati menerima sumbangan tersebut dan menyifatkan kecaknaan itu mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan warga PERAKAN Malaysia dalam membantu meringankan beban mangsa kebakaran, sekali gus memperkukuh budaya saling membantu ketika berdepan musibah.








