Accessibility Tools

Skip to main content

Busana Melayu tema Festival Kesenian Kelantan 2026

Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar

KOTA BHARU, 29 Jun — Busana Melayu dipilih sebagai tema Festival Kesenian Rakyat Kelantan (FKRK) 2026 yang dijadualkan berlangsung di Jeti Pelancongan Tok Bali Pasir Puteh pada 1 hingga 4 Julai.

Sehubungan itu, Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, pemilihan tema tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri untuk memastikan warisan Melayu terus dipelihara, dihargai dan diwariskan kepada generasi akan datang.

“Tahun ini, tema Busana Melayu diangkat sebagai lambang keindahan warisan, adab dan jati diri bangsa.

“Sepanjang festival nanti, pelbagai aktiviti kebudayaan dan kesenian menanti orang ramai. Marilah kita bersama-sama berbusana, meraikan warisan, menghidupkan budaya dan memeriahkan Festival Kesenian Rakyat Kelantan 2026,” katanya menerusi kenyataan media, semalam.

Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat yang disampaikan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan Rohaniza Abdullah mengenai persiapan Majlis Perasmian Penutupan FKRK 2026 pada 4 Julai pukul 8.00 malam.

Menurutnya sepanjang festival berlangsung pada pukul 10.00 pagi hingga 11.00 malam pelbagai pengisian berteraskan seni, budaya dan warisan diperkenalkan untuk menonjolkan kekayaan budaya Kelantan kepada masyarakat tempatan serta pelancong.

"Tema Busana Melayu yang dipilih menampilkan keindahan pakaian tradisional dan mengangkat nilai adab, kesopanan dan jati diri yang menjadi asas pembentukan tamadun Melayu sejak sekian lama.

"Festival Kesenian Rakyat Kelantan merupakan platform penting dalam memelihara, mempromosi dan memperkasakan seni budaya negeri, di samping menyemarakkan rasa bangga terhadap identiti bangsa," katanya menerusi media sosial, semalam.

Beliau menyeru penglibatan aktif masyarakat bagi memastikan warisan budaya terus hidup dan berkembang seiring perubahan zaman tanpa kehilangan nilai serta keasliannya.

"Orang ramai dipersilakan hadir memeriahkan Festival Kesenian Rakyat Kelantan 2026 dengan menyertai pelbagai aktiviti yang disusun sepanjang penganjurannya, sekali gus menjadikan festival itu sebagai wadah memperkukuh kecintaan terhadap warisan, budaya dan jati diri bangsa," ujarnya.

Pautan berjaya disalin!