Jalan Sungai Peria–Temalir mula dibaik pulih, mudahkan laluan alternatif Gua Musang–Kuala Krai
Oleh: Norzana Razaly
KUALA KRAI, 29 Jun - Kerja-kerja membaik pulih semula dan penurapan D225 Jalan Sungai Peria–Temalir dengan anggaran kos sekitar RM1 juta telah mula dilaksanakan bagi mempertingkatkan keselesaan pengguna serta memperkukuh fungsi laluan alternatif yang menghubungkan Gua Musang - Kuala Krai.
Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, projek itu melibatkan kerja-kerja membaik pulih semula jalan dan penurapan premix yang mula memasuki tapak pada 16 Jun lalu.
Ahli Parlimen Kuala Krai, YB Abdul Latiff Abdul Rahman
"Laluan Sungai Peria–Temalir merupakan antara jalan alternatif penting kepada pengguna yang berulang-alik antara Gua Musang dan Kuala Krai.
“Insya Allah, sama-sama kita doakan agar kerja-kerja membaik pulih jalan alternatif ini berjalan lancar mengikut jadual dengan pemantauan rapi pihak JKR supaya dapat disiapkan mengikut tempoh yang telah ditetapkan tanpa sebarang kelewatan demi kemudahan serta kesejahteraan penduduk setempat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, kerja naik taraf itu melibatkan beberapa lokasi yang mengalami kerosakan teruk dengan panjang keseluruhan kira-kira 1 kilometer.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Manek Urai YB Mohd Fauzi Abdullah mengucapkan terima kasih atas pelaksanaan projek berkenaan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Manek Urai, YB Mohd Fauzi Abdullah
"Kita bersyukur dan berterima kasih atas pelaksanaan projek ini. Kita jangka projek ini dapat meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya dan melancarkan pergerakan penduduk setempat serta aktiviti ekonomi di kawasan terlibat," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau juga menyifatkan pelaksanaan projek itu sebagai komitmen berterusan kerajaan negeri dan pihak berkaitan dalam menambah baik infrastruktur jalan raya luar bandar bagi memastikan jaringan perhubungan yang lebih selamat, efisien dan berkualiti untuk manfaat rakyat.














