Kelantan jadikan pendidikan agenda utama pembangunan negeri
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 29 Jun - Kerajaan Negeri Kelantan terus meletakkan sektor pendidikan sebagai agenda utama dalam pembangunan negeri kerana pembangunan sesebuah negeri bukan hanya bergantung kepada aspek fizikal, sebaliknya perlu didukung oleh pembangunan insan.
Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK) Shamsul Abu Bakar berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian serius terhadap usaha memperkasakan pendidikan rakyat kerana pelaburan dalam bidang itu adalah pelaburan yang paling menguntungkan dan manfaatnya akan diwarisi oleh generasi akan datang.
"Sesungguhnya pembangunan sesebuah negeri tidak hanya bergantung kepada pembangunan fizikal semata-mata tetapi lebih utama ialah pembangunan insan.
"Kita percaya bahawa pelaburan dalam bidang pendidikan merupakan pelaburan yang paling menguntungkan kerana hasilnya bukan sahaja dinikmati pada hari ini bahkan akan diwarisi oleh generasi yang akan datang."
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan Tahun 2025 di Dewan Tok Guru Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim semalam.
Pada majlis itu, sebanyak 1,494 pelajar cemerlang diraikan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap pencapaian mereka dalam peperiksaan.
Beliau berkata, jumlah itu bukan sekadar statistik, sebaliknya melambangkan kisah perjuangan, pengorbanan, disiplin dan doa yang akhirnya diterjemahkan kepada kejayaan.
"Ia juga menjadi bukti bahawa anak Kelantan mempunyai potensi besar untuk terus mencipta kecemerlangan dalam pelbagai bidang.
"Bagi pihak Kerajaan Negeri Kelantan, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua penerima anugerah pada hari ini," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik yang disifatkan bukan sekadar menyampaikan ilmu, malah membentuk karakter, memupuk nilai dan menyalakan obor harapan dalam diri anak bangsa.
Beliau turut menghargai pengorbanan ibu bapa yang sentiasa mendoakan serta memberi sokongan kepada anak-anak sehingga berjaya.
Pada masa sama, beliau mengingatkan pelajar supaya tidak menjadikan kejayaan dalam peperiksaan sebagai penamat, sebaliknya sebagai permulaan kepada perjalanan menuntut ilmu yang lebih luas.
Katanya, dunia masa depan memerlukan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki kemahiran, daya fikir, keberanian mencuba serta nilai kemanusiaan yang tinggi.
Beliau berkata, keputusan peperiksaan juga bukan satu-satunya ukuran kejayaan kerana nilai sebenar seseorang insan terletak pada akhlak, integriti, adab serta sejauh mana ilmu dimanfaatkan untuk kebaikan masyarakat.
"Kelantan memerlukan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga memiliki jiwa yang besar, akhlak yang terpuji serta semangat untuk berkhidmat kepada agama dan tanah air.
"Kita tidak mahu melahirkan generasi yang hanya berjaya memperoleh keputusan yang baik tetapi gagal menjadi manusia yang baik. Sebaliknya kita mahu melahirkan generasi Rabbani yang tinggi ilmunya, kukuh iman dan mulia akhlaknya," jelasnya.










