Accessibility Tools

Skip to main content

Peranan wanita signifikan, HSK perkasakan lebih 200 peserta di DUN Kemuning - YB Zakhran

Oleh: Irham Hilmi Hashim

MACHANG, 29 Jun – Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemuning YB Ahmad Zakhran Mat Noor memperakui peranan wanita yang amat signifikan dalam membentuk institusi keluarga yang cemerlang, sekali gus menjadi asas kepada pembinaan masyarakat yang harmoni dan negeri yang sejahtera.

Menurutnya, sebagai menghargai sumbangan golongan tersebut, Kerajaan Negeri melalui Urus setia Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga (U-KeKWA) menganjurkan Hari Sayyidatina Khadijah (HSK) di setiap DUN di seluruh Kelantan.

“Wanita mempunyai peranan yang sangat penting dalam membentuk institusi keluarga yang cemerlang. Daripada institusi keluarga yang kukuh akan lahir masyarakat yang harmoni dan seterusnya menyumbang kepada pembinaan sebuah negeri yang sejahtera.

“Atas dasar itu, Kerajaan Negeri melalui U-KeKWa menganjurkan Hari Sayyidatina Khadijah di kesemua DUN di negeri Kelantan sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan golongan wanita,” katanya dalam ucapan perasmiannya pada Program Hari Sayyidatina Khadijah Peringkat DUN Kemuning 2026 di Dewan Tok Kemuning, Machang, pada 27 Jun.

Beliau berkata, program tersebut berjaya menghimpunkan lebih 200 peserta yang terdiri daripada masyarakat setempat dalam suasana yang penuh semangat dan penghayatan terhadap peranan wanita dalam pembangunan ummah.

Menurutnya, sambutan yang memberangsangkan itu mencerminkan komitmen masyarakat dalam menyokong usaha Kerajaan Negeri memperkasa wanita melalui pelbagai program pembangunan keluarga, kesihatan dan keusahawanan.

Program tersebut dimulakan dengan Aktiviti Senam Sihat “KELFIT” yang menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan peserta, diikuti ceramah Daurah Wanita yang memberi penekanan terhadap pembangunan diri serta peranan wanita dalam institusi keluarga dan masyarakat.

Turut diadakan ialah penyampaian Anugerah Tokoh Usahawan Wanita DUN Kemuning sebagai pengiktirafan kepada wanita yang berjaya mencipta kecemerlangan dalam bidang keusahawanan serta menjadi inspirasi kepada masyarakat.

Beliau berharap program seumpama itu akan terus menjadi wadah memperkukuh pembangunan wanita di negeri ini, di samping memberi manfaat kepada seluruh peserta melalui perkongsian ilmu, aktiviti kesihatan dan penghargaan terhadap sumbangan wanita dalam pelbagai bidang.

Pautan berjaya disalin!