Islam perlu difahami sebagai panduan mentadbir kehidupan – Dato' Mohd Amar
Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 29 Jun – Islam perlu difahami sebagai panduan yang menyeluruh dalam mengatur kehidupan termasuk aspek pemerintahan, pentadbiran dan keadilan bukan tertumpu kepada ibadah khusus semata-mata.
Speaker Dewan Negeri Kelantan YB Dato' Sri Amar D'Raja Dato' Mohd Amar Abdullah menegaskan Islam mengajar umatnya secara komprehensif.
"Islam tidak datang hanya mengajar hubungan manusia dengan Allah, bahkan membimbing bagaimana masyarakat dan negara ditadbir dengan amanah dan keadilan. Atas sebab itulah usaha melemahkan kefahaman politik umat sentiasa berlaku dalam pelbagai bentuk," katanya di laman rasmi, semalam.
Menurutnya, sejarah membuktikan Islam yang paling digeruni ialah Islam yang mengatur kehidupan secara menyeluruh, merangkumi akidah, ibadah, akhlak, pemerintahan, keadilan dan pentadbiran.
Katanya, peristiwa Hijrah Rasulullah SAW turut menjadi bukti bahawa kejayaan tidak hadir hanya dengan semangat dan tawakal, sebaliknya memerlukan perancangan yang teliti, strategi yang jelas serta pengurusan yang tersusun.
"Perjuangan tidak boleh digerakkan secara sambil lewa. Membina pemerintahan yang baik memerlukan perancangan yang rapi, strategi yang jelas, pengurusan yang cekap serta disiplin organisasi yang kukuh," jelasnya.
Beliau menjelaskan bahawa sifat fatanah yang ditunjukkan Rasulullah SAW ketika peristiwa Hijrah perlu dicontohi oleh umat Islam dalam membina kepimpinan dan mengurus perjuangan secara berkesan.
Dalam pada itu, beliau berkata dakwaan bahawa Islam di negara ini tidak pernah terancam perlu dinilai secara objektif, sambil merujuk bantahan terhadap cadangan pembinaan sebuah masjid di Bukit Bintang baru-baru ini sebagai antara perkara yang mengundang persoalan terhadap penghormatan kepada syiar Islam di ruang awam.
Dato' Mohd Amar turut melahirkan kebimbangan terhadap kecenderungan segelintir pihak yang memisahkan amalan ibadah daripada urusan pemerintahan dan hala tuju negara, sedangkan kedua-duanya saling berkait dalam ajaran Islam.
"Perpaduan ialah benteng kekuatan umat Islam. Apabila umat berpecah dan gagal mengurus kekuatan yang dimiliki, pihak lain akan lebih mudah menentukan hala tuju masa depan umat," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mengajak umat Islam menjadikan kedatangan tahun baharu Hijrah sebagai medan muhasabah untuk memperkukuhkan perpaduan, mempertahankan agama dengan ilmu, hikmah dan akhlak yang mulia serta membina masa depan umat melalui perancangan yang tersusun.








