Accessibility Tools

Skip to main content

Tangani isu warga asing, Kelantan perketat lesen perniagaan

Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 29 Jun – Kerajaan Negeri Kelantan memperketat syarat lesen premis perniagaan yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai langkah menangani isu warga asing menguasai perniagaan di negeri ini, di samping memastikan pengurusan premis mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, pelaksanaan itu dikuatkuasakan menerusi Pekeliling Pembangunan Bil. 2 Tahun 2026 yang kini dilaksanakan oleh semua PBT di Kelantan.

Menurutnya, langkah tersebut bertujuan memperkukuhkan pematuhan terhadap syarat pelesenan selain memastikan hanya individu yang layak dibenarkan menguruskan premis perniagaan.

“Pelaksanaan ini bertujuan memperkukuhkan pematuhan syarat pelesenan serta memastikan pengurusan premis perniagaan dilaksanakan mengikut peraturan yang telah ditetapkan,” katanya di laman rasmi, hari ini.

Beliau menjelaskan, antara syarat baharu yang diperkenalkan ialah pemohon yang berkahwin perlu mengemukakan maklumat pasangan berserta dokumen perkahwinan, manakala hanya pemegang lesen atau penama (nominee) yang merupakan warganegara Malaysia dibenarkan menguruskan premis.

Selain itu, semua maklumat pekerja warga asing hendaklah dipamerkan dengan jelas di premis bagi memudahkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa.

“Kegagalan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan boleh menyebabkan tindakan penguatkuasaan diambil termasuk kompaun, penggantungan lesen atau pembatalan lesen, tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pemegang lesen dan pengusaha premis supaya meneliti infografik yang disediakan serta memastikan premis masing-masing mematuhi syarat-syarat baharu berkenaan.

Tambahnya, pelaksanaan syarat lesen yang lebih ketat itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan ekosistem perniagaan yang lebih tersusun, telus dan memelihara kepentingan peniaga tempatan selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Pautan berjaya disalin!