Ubah cara fikir konsep ekonomi, kuasai kemahiran baharu – Dato’ Abdul Hadi
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media KFLI
KOTA BHARU, 4 Mei – Golongan belia disaran mengubah cara fikir terhadap konsep ekonomi serta memperkukuh penguasaan kemahiran baharu sebagai langkah penting untuk kekal berdaya saing dan menjadi peneraju pembangunan ekonomi negeri.
ADN Kuala Balah merangkap Pengerusi Sekretariat Ekonomi Negeri Kelantan YB Dato’ Abdul Hadi Awang Kechil berkata, perubahan pemikiran adalah asas penting dalam membina kekuatan ekonomi, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Menurutnya, ekonomi bukan sekadar soal peluang, tetapi melibatkan kebolehan mengurus keinginan yang tidak terhad dengan sumber yang terhad seperti modal, tanah dan tenaga.
“Konsep ekonomi ialah menguruskan keinginan yang tidak terhad dengan sumber yang terhad. Namun keinginan itu perlu ada had. Kita kena ubah cara fikir bahawa tiada yang mustahil, tetapi kehendak kita mesti ada limit,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sesi Dialog Ekonomi Anak Muda bersamanya di Pusat Belia Kelantan, Medan Usahawan, di sini, hari ini.
Tambahnya, kelemahan utama yang menyebabkan sesuatu masyarakat ketinggalan adalah kekurangan kemahiran, justeru belia perlu berusaha memperlengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran termasuk dalam bidang ekonomi digital.
“Kenapa kita kebelakang? Kerana kita tiada kemahiran. Orang yang tiada kemahiran akan kalah sampai bila-bila,” ujarnya.
Dato’ Abdul Hadi yang mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan kerajaan pernah berkhidmat di beberapa kementerian utama termasuk Kementerian Perdagangan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kewangan serta Kementerian Pertahanan.
Beliau juga merupakan mantan Ketua Pengarah Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) selama lapan tahun, sekali gus memberi nilai tambah kepada perkongsian kepada peserta dalam memahami pembangunan belia dan ekonomi secara menyeluruh.
Program tersebut menghimpunkan penyertaan Sekretariat Kelantan Future Leaders Institute (KFLI), Ahli Dewan Negeri (ADN) Belia Kelantan serta alumni Kohort Kelantan Future Leaders Academy (KFLA), sekali gus memperkukuh jaringan kepimpinan muda di negeri ini.
Dalam sesi dialog itu, para peserta turut membangkitkan pelbagai isu berkaitan ekonomi negeri termasuk potensi tanah terbiar yang belum dimanfaatkan sepenuhnya serta keperluan memperkasa sektor pertanian, penternakan dan agropelancongan.
Selain itu, belia juga menekankan kepentingan kemahiran pemasaran digital sebagai antara cabang baharu yang mampu menjana pendapatan serta membantu meningkatkan hasil negeri.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar belia tidak terus berada dalam zon selesa, sebaliknya berani mengambil peranan sebagai penggerak utama ekonomi.
Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap penganjuran program tersebut yang disifatkan sebagai satu platform strategik dalam membina ekosistem pembangunan belia yang lebih tersusun dan berimpak tinggi.














