Accessibility Tools

Skip to main content

Potensi seni belia Tumpat wajar terus digilap – Dato' Wan Roslan

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media Dato' Wan Roslan

TUMPAT, 4 Mei – Potensi seni dalam kalangan belia di Tumpat wajar terus digilap dan diketengahkan agar mampu bersaing serta menyerlah di peringkat lebih tinggi.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Pengkalan Kubor YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, kejayaan kumpulan dikir barat tempatan dalam Pertandingan Dikir Barat RTM 2026 membuktikan bahawa anak muda di daerah itu mempunyai bakat besar yang mampu mengangkat seni warisan ke pentas nasional.

“Dengan kesungguhan, disiplin dan semangat kerja berpasukan, mereka berjaya mencipta kejayaan yang membanggakan. Ini menunjukkan potensi besar yang perlu terus dibimbing dan diperkasa,” katanya di laman rasmi, semalam.

Beliau berkata demikian selepas meraikan kejayaan Kumpulan Seruling Kasih dan Sri Kandi Tumpat yang mencipta pencapaian cemerlang dalam pertandingan berskala nasional.

Dalam pertandingan berprestij yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri, Kuala Lumpur pada 25 dan 26 April lalu, Sri Kandi Tumpat muncul johan kategori wanita dengan membawa pulang wang tunai RM25,000, manakala Seruling Kasih meraih gelaran naib johan kategori lelaki dengan hadiah RM20,000.

Sementara itu, Kumpulan Kala Maharaja PKINK dinobatkan sebagai johan kategori lelaki dengan hadiah RM30,000, manakala Sri Andani muncul naib johan kategori wanita dengan membawa pulang RM15,000.

Dato' Wan Roslan turut menegaskan bahawa penganjuran pertandingan seumpama ini bukan sahaja memartabatkan seni warisan tradisional seperti dikir barat, bahkan menjadi platform penting dalam melahirkan bakat baharu khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Usaha berterusan perlu digerakkan bagi memastikan seni tradisional terus relevan dan diminati, di samping membuka lebih banyak ruang kepada belia untuk menonjolkan bakat mereka,” ujarnya.

Turut hadir, dalam majlis berkenaan ialah ADN Kelaboran YB Mohd Adanan Hassan, pendikir terkenal Den Manjo serta penaja-penaja yang sentiasa menyokong pembangunan seni budaya tempatan.

Pautan berjaya disalin!