MDM kempen tanam 100 juta pokok di View Point Chabang Tongkat
Oleh: Irham Hilmi Hashim
MACHANG, 30 April — Penganjuran Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di View Point Hutan Simpan Kekal (HSK) Chabang Tongkat memperkukuh agenda kelestarian alam sekitar bahkan mengangkat lokasi itu sebagai produk pelancongan baharu berteraskan ekopelancongan yang sedang dibangunkan Majlis Daerah Machang (MDM).
Program bertemakan “Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita” itu menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dalam usaha menjayakan inisiatif penghijauan negara serta menyemai kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan alam sekitar.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Dato’ Hassan ketika merasmikan program berkata, usaha memakmurkan bumi merupakan tanggungjawab besar manusia sebagai khalifah, selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 30.
“Menjaga alam sekitar bukan pilihan, tetapi amanah yang mesti dipikul dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab.
Penanaman pokok adalah antara langkah paling asas namun signifikan dalam memastikan bumi ini terus lestari,” katanya.
Beliau berkata, tanggungjawab tersebut meliputi penjagaan keseimbangan ekosistem serta pengurusan sumber secara berhemah sebagai asas kepada kesejahteraan generasi masa hadapan.
Dalam masa sama, beliau turut merujuk pandangan Profesor Harry Lewis dari Universiti Harvard menerusi bukunya Excellence Without A Soul yang menekankan peranan pendidikan dalam melahirkan individu yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Menurutnya, pendekatan tersebut selari dengan dasar pembangunan negeri yang menitikberatkan keseimbangan antara kemajuan material dan tanggungjawab sosial termasuk dalam aspek pemeliharaan alam sekitar.
Program itu diisi dengan pelbagai aktiviti antaranya penanaman anak pokok, pameran dan ceramah kesedaran alam sekitar, kempen 3R, pemeriksaan kesihatan serta kempen derma darah, selain cabutan bertuah bagi menggalakkan penyertaan masyarakat.
Peserta terawal turut menerima anak pokok secara percuma sebagai simbol penghargaan atas sokongan terhadap usaha penghijauan berkenaan.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Machang Mohd Zamri Ibrahim memaklumkan View Point HSK Chabang Tongkat merupakan antara lokasi pelancongan baharu yang sedang dibangunkan pihaknya.
Menurutnya, kawasan tersebut menawarkan panorama alam semula jadi yang unik termasuk pemandangan matahari terbit dan terbenam, sekali gus berpotensi menjadi tarikan utama pelancong ke daerah Machang.
“Pembangunan lokasi ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan, malah menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar melalui pendekatan pelancongan lestari,” ujarnya.


















