Accessibility Tools

Skip to main content

Tangki air sementara bantu penduduk Kemuning sepanjang kerja penyelenggaraan loji - YB Zakhran

Oleh: Syamimi Manah

MACHANG, 30 April – Inisiatif penyediaan tangki air sementara oleh Pusat Khidmat DUN Kemuning membantu meringankan beban penduduk yang terjejas akibat gangguan bekalan air sepanjang tempoh kerja-kerja penyelenggaraan loji di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemuning YB Ahmad Zakhran Mat Noor berkata, langkah itu diambil susulan gangguan bekalan air yang berpunca daripada beberapa faktor, termasuk kerja penyelenggaraan di Loji Rawatan Air Merbau Chondong serta masalah gangguan elektrik yang kerap berlaku di loji tersebut.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan satu pelan tindakan sementara perlu dilaksanakan bagi memastikan keperluan asas penduduk terus terjamin, sementara kerja-kerja menaik taraf loji berkenaan dijangka siap sekitar bulan September ini.

“Setelah perbincangan bersama pihak pengurusan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) Machang beberapa hari lalu, Pusat Khidmat DUN Kemuning telah mengambil inisiatif membeli beberapa buah tangki air untuk ditempatkan di kawasan yang kerap terjejas.

“Ini adalah usaha jangka pendek bagi membantu penduduk menghadapi kesukaran bekalan air harian,” katanya menerusi kenyataan di laman rasmi, semalam.

Menurutnya lagi, walaupun inisiatif tersebut bersifat sementara, ia diharap dapat sedikit sebanyak mengurangkan beban rakyat sementara penyelesaian lebih menyeluruh dilaksanakan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa sebanyak empat buah tangki air telah diserahkan untuk kegunaan penduduk di beberapa kawasan terjejas, iaitu Padang Selising, Taman Damai dan Taman Sri Makmur, serta Bukit Tiu.

Dalam pada itu, YB Ahmad Zakhran memaklumkan bahawa isu berkaitan infrastruktur bekalan air sedang ditangani melalui kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan bagi memastikan penyelesaian yang lebih mampan dapat dicapai pada masa akan datang.

“Usaha ini merupakan sebahagian ikhtiar berterusan untuk memastikan kebajikan rakyat terus terbela sepanjang tempoh cabaran ini,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!