Accessibility Tools

Skip to main content

KGT perkenal polisi baharu pembelian produk bermula 1 Mei

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 30 April – Kelantan Gold Trade (KGT) mengumumkan pelaksanaan polisi baharu pembelian produk sebagai langkah memperkukuh sistem transaksi yang lebih sistematik, telus dan efisien, selaras dengan usaha penambahbaikan ekosistem urus niaga digital syarikat itu.

Menerusi kenyataan media, KGT memaklumkan bahawa inisiatif berkenaan akan mula berkuat kuasa pada 1 Mei 2026, melibatkan penambahbaikan terhadap kaedah pembelian serta pengeluaran produk emas mereka.

Menurut kenyataan itu, pengeluaran Syiling Emas Ketam Guri seberat 5 gram dan 10 gram kini akan dilaksanakan melalui platform Akaun EDND.

Langkah tersebut bertujuan memastikan proses pemilikan produk emas dapat diuruskan dengan lebih teratur, selamat serta mudah diakses oleh pelanggan.

“Bagaimanapun, pengeluaran adalah tertakluk kepada ketersediaan stok semasa,” menurut kenyataan berkenaan, pada Rabu.

KGT turut menjelaskan bahawa pendekatan baharu ini mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam memperkukuh integrasi sistem digital bagi produk emas dan perak, di samping meningkatkan kecekapan operasi.

Selain itu, pelaksanaan polisi tersebut juga dijangka mampu menambah baik pengalaman pelanggan dalam setiap urus niaga yang dijalankan.

Dalam perkembangan sama, KGT turut melaksanakan Polisi Deposit 100 peratus bagi tempahan jongkong emas dan perak sebagai langkah penambahbaikan bagi memastikan setiap transaksi pembelian lebih terjamin.

“Polisi ini dilaksanakan bagi mengukuhkan komitmen pelanggan terhadap tempahan yang dibuat, selain memastikan kelancaran proses pengeluaran dan pengurusan stok oleh pihak KGT,” menurut kenyataan itu lagi.

KGT tuurt menegaskan bahawa langkah berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih efisien, telus dan mesra pelanggan.

“Pendekatan ini selari dengan usaha memperkukuh ekosistem perdagangan emas yang mampan dan profesional,” katanya.

Pautan berjaya disalin!