Delegasi Malaysia ke Kongres Sumud Global bawa suara Palestin ke pentas antarabangsa
Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: Media Kraitiff
KUALA KRAI, 30 April — Delegasi Malaysia ke Kongres Parlimen Sumud Global di Brussels menegaskan komitmen berterusan negara dalam membawa suara Palestin ke pentas antarabangsa, sekali gus memperhebat tekanan global terhadap isu kemanusiaan tersebut.
Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latiff Abdul Rahman berkata kongres berkenaan menghimpunkan ahli parlimen dari pelbagai negara termasuk Eropah bagi memastikan sokongan antarabangsa terhadap Palestin diterjemahkan kepada tindakan yang lebih berkesan.
Menurutnya yang merupakan salah seorang anggota delegasi, kongres itu berlangsung serentak dengan pelayaran Armada Global Sumud di Laut Mediterranean menuju ke Gaza sebagai simbol desakan bersama melalui pendekatan darat dan laut.
“Kongres bersidang pada 22 April lalu mengeluarkan Deklarasi Brussels yang merupakan satu instrumen penting bagi mendesak masyarakat antarabangsa dalam isu Palestin,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa penyertaan Malaysia dalam kongres tersebut mencerminkan komitmen konsisten negara dalam memperjuangkan keadilan dan hak kemanusiaan rakyat Palestin di peringkat global.
"Delegasi Malaysia ke Brussels diketuai Pengerusi Kaukus Palestin Parlimen Malaysia, Syed Ibrahim Syed Noh, bersama Ahli Parlimen Balik Pulau, Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik serta Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), Datuk Sani Araby.
"Penyertaan tersebut adalah usaha bersepadu dalam memperkukuh solidariti antarabangsa serta memperluas jaringan kerjasama strategik bagi memastikan isu Palestin terus mendapat perhatian masyarakat dunia," jelasnya.








