Accessibility Tools

Skip to main content

300 penduduk Kuala Balah terima manfaat Skim Beras Al-It’am

Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: PKD Kuala Balah

JELI, 30 April – Sebanyak 300 penerima di DUN  Kuala Balah menerima manfaat melalui pelaksanaan Program Skim Beras Al-It’am sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh agenda kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Balah YB Dato’ Abdul Hadi Awang Kechil berkata, program bagi bulan Mac dan April itu telah dilaksanakan secara berfasa melibatkan dua zon, iaitu Zon A yang berlangsung pada 27 April di Surau Abu Bakar As-Siddiq, Kampung Kubur Datu, manakala Zon B diadakan pada 29 April di Kampung Pendok.

“Pelaksanaan program kebajikan secara konsisten ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

Beliau turut menegaskan, program seperti itu merupakan antara pendekatan berkesan kerajaan negeri dalam menyantuni rakyat secara langsung di lapangan, di samping memastikan setiap isu yang dibangkitkan dapat dikenal pasti dan ditangani dengan segera.

“Bagi Zon A, program agihan melibatkan lapan mukim iaitu Mukim Batu Reka, Mukim Lubok Bongor, Mukim Kubor Datu, Mukim Bukit Selar, Mukim Jerimbong, Mukim Bukit Jering, Mukim Rantau Manis dan Mukim Kuala Balah,” jelasnya ketika dihubungi, semalam.

Selain agihan bantuan berbentuk keperluan asas seperti beras dan mihun, program santuni rakyat yang diadakan secara bulanan di Dewan Orang Ramai Kampung Pendok, Batu Melintang turut terus diperkasa sebagai platform utama dalam menjaga kebajikan penduduk setempat.

Menurutnya lagi, program berkenaan menjadi saluran penyampaian bantuan, bahkan berfungsi sebagai medium interaksi antara pemimpin dan rakyat di peringkat akar umbi.

Antara isu yang dibangkitkan termasuk kebajikan warga emas dan golongan uzur, selain masalah infrastruktur seperti kerosakan paip serta sistem pencahayaan di kawasan tanah perkuburan.

“Kerajaan negeri akan terus memperkukuh pelaksanaan program seumpama ini dari semasa ke semasa sebagai usaha memastikan sistem kebajikan rakyat kekal menyeluruh, inklusif dan berkesan,” ujarnya.

“Saya berharap agar sumbangan yang diberikan mampu meringankan beban penerima serta memberi manfaat berterusan kepada masyarakat, selaras dengan semangat kebajikan dan keprihatinan yang menjadi teras pentadbiran negeri,” tambahnya.

Pautan berjaya disalin!