MERAK atur program lebih tersusun untuk anak muda
Oleh:Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 30 April - Kelab motor Minda Evolusi Rempit Anak Kelantan (MERAK) dalam perancangan untuk diaktifkan semula sebagai platform menghimpunkan golongan belia ke arah aktiviti lebih tersusun dan berimpak positif.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Mohamad berkata langkah itu selari dengan usaha kerajaan negeri untuk mengubah persepsi terhadap anak muda, khususnya yang terlibat dalam dunia permotoran.
Menurutnya, kerajaan negeri akan terus membuka ruang dan menyediakan platform kepada golongan belia untuk bergerak secara lebih tersusun, positif dan berimpak tinggi.
"Untuk tujuan itu, MERAK akan diaktifkan semula," katanya menerusi satu hantaran di media sosial hari ini.
Tambah YB Zamakhshari, minat anak terhadap aktiviti permotoran bukan satu kesalahan, namun perlu dipandu dengan nilai tanggungjawab, keselamatan serta memberi manfaat kepada masyarakat.
“Kita mahu ubah persepsi daripada ‘rempit’ kepada anak muda berprinsip, berwawasan dan berperanan dalam masyarakat.
"Kita mahu anak muda Kelantan anak muda yang bermaruah, bukan sekadar hebat di jalanan, tetapi hebat dari segi akhlak, disiplin dan jati diri," katanya.
Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan bersama anak muda Kelantan yang menganggotai MERAK bagi mendengar pandangan serta berkongsi idea mengenai hala tuju generasi belia masa kini.
Beliau berkata, pertemuan itu bukan sekadar perbualan santai, sebaliknya menjadi ruang untuk membina kefahaman bersama dalam usaha memperkasa peranan belia.
“Usaha ini diharap dapat melahirkan generasi muda Kelantan yang bukan sahaja berani, tetapi juga bermaruah dan berintegriti,” katanya.
Untuk rekod, MERAK sebelum ini dilancarkan penubuhannya oleh mantan Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Dato' Bentara Setia Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.










