Accessibility Tools

Skip to main content

Projek halia muda di Kelantan Bio Valley tambah nilai sektor agromakanan

Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 29 April – Projek penanaman halia muda di Kelantan Bio Valley, Gong Datok, Pasir Puteh berpotensi menambah nilai kepada sektor agromakanan negeri menerusi pemanfaatan tanah pertanian terbiar secara lebih produktif.

Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, projek yang dilaksanakan oleh Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd itu merupakan hasil kerjasama antara Kerajaan Negeri Kelantan dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Menurutnya, inisiatif tersebut membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memaksimumkan penggunaan tanah terbiar bagi meningkatkan pengeluaran hasil pertanian bernilai tinggi.

“Projek ini merupakan satu lagi usaha bernilai dalam memperkukuh sektor agromakanan negeri melalui pembangunan tanaman yang berpotensi memberi pulangan ekonomi lebih tinggi,” katanya menerusi kenyataan di laman rasmi beliau semalam.

Beliau turut menjelaskan bahawa penggunaan pendekatan moden seperti struktur lindungan, sistem pengairan yang efisien serta susun atur tanaman yang sistematik berupaya meningkatkan produktiviti halia muda secara signifikan.

Menurutnya, kaedah tersebut bukan sahaja membantu meningkatkan hasil, malah memastikan kualiti tanaman yang lebih konsisten dan berdaya saing di pasaran.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa projek berkenaan melengkapkan pembangunan di Kelantan Bio Valley yang memberi tumpuan kepada sektor tanaman bernilai tinggi sebagai langkah memperkukuh ekosistem agromakanan negeri secara menyeluruh.

“Usaha ini selari dengan agenda keterjaminan makanan serta berpotensi meningkatkan pendapatan pemain industri pertanian di negeri ini,” ujarnya.

Tambahnya, kerajaan negeri akan terus menggalakkan pelaksanaan lebih banyak projek seumpama itu bagi memastikan setiap potensi tanah dapat dimanfaatkan secara optimum demi kesejahteraan ekonomi rakyat dan negeri Kelantan.

Pautan berjaya disalin!