Accessibility Tools

Skip to main content

2,595 jemaah haji Kelantan tunai ibadah tahun ini

Oleh: Syamimi Manah

KOTA BHARU, 28 April – Sebanyak 2,595 jemaah haji dari Kelantan berpeluang menunaikan ibadah haji bagi musim 1447 Hijrah tahun ini, sekali gus menggambarkan sambutan berterusan rakyat negeri ini terhadap rukun Islam kelima.

Pengarah Lembaga Tabung Haji Negeri Kelantan Mohamad Rosli Mustapai berkata, daripada jumlah tersebut, 1,116 merupakan jemaah lelaki manakala 1,479 lagi adalah jemaah wanita.

Beliau berkata demikian ketika sesi siaran langsung FOKUS anjuran Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) di Studio Kelantan TV, semalam.

Menurutnya, urusan keberangkatan jemaah haji telah diatur secara berperingkat bermula 18 April hingga 4 Mei 2026 hasil kerjasama erat antara Lembaga Tabung Haji, Kerajaan Negeri Kelantan, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta pelbagai agensi berkaitan.

Pengarah Lembaga Tabung Haji Negeri Kelantan, Mohamad Rosli Mustapai

“Sebanyak 12 penerbangan khas Malaysia Airlines diperuntukkan bagi membawa jemaah haji yang melapor diri di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra (KIJPSIP), Panji. Setakat ini, lapan penerbangan telah berlepas manakala baki empat lagi dijadualkan berlepas dalam tempoh terdekat" jelasnya.

“Jemaah akan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sebelum transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan seterusnya ke Madinah atau Jeddah,” katanya.

Tambahnya, terdapat juga sebahagian jemaah yang memilih untuk melapor diri di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu serta di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA.

Dalam pada itu, beliau menasihati jemaah haji supaya membuat persiapan rapi sebelum melapor diri termasuk mencetak surat tawaran haji melalui platform THiJARI serta memastikan semakan tarikh, masa dan lokasi dibuat dengan teliti.

“Jemaah perlu membawa dokumen penting seperti kad pengenalan dan pasport, selain mematuhi had bagasi iaitu satu bagasi utama tidak melebihi 30 kilogram serta satu bagasi tangan yang disediakan Tabung Haji,” katanya.

Beliau turut mengingatkan agar barangan seperti 'power bank' disimpan dalam beg sandang dengan kapasiti maksimum 20,000 mAh, manakala ubat-ubatan perlu dibawa di dalam beg tangan dan tidak dimasukkan ke dalam bagasi.

Dari aspek kesihatan, jemaah disaran membawa ubat mencukupi serta mendapatkan rehat secukupnya sebelum berangkat ke Tanah Suci, di samping mengulangkaji nota Kursus Asas Haji sebagai persediaan ibadat.

Sementara itu, waris yang menghantar jemaah diingatkan supaya menyimpan maklumat penting termasuk nombor Tabung Haji Contact Centre (THCC).

“Selepas jemaah memasuki kawasan lapor diri, waris tidak dibenarkan untuk berjumpa mereka dan juga tidak dibenarkan memasuki Kompleks Panji,” jelasnya.

Pautan berjaya disalin!