Usaha perkasa celik al-Quran, sasar setiap rumah lahir hafiz, hafizah — Exco Agama
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA BHARU, 29 April — Kerajaan Negeri Kelantan terus memperkukuh pelaksanaan agenda penghayatan al-Quran secara menyeluruh dengan menyasarkan setiap rumah melahirkan sekurang-kurangnya seorang hafiz atau hafizah, selaras usaha membina masyarakat Rabbani yang berteraskan ilmu dan nilai Islam.
Perkara itu dinyatakan oleh Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud ketika menyampaikan tausiah serta merasmikan Majlis Khatam al-Quran Ahli Pesara Kerajaan Malaysia Bahagian Negeri Kelantan Kali Ke-10 di Kompleks Balai Islam, di sini, semalam.
Menurutnya, kerajaan negeri memberi keutamaan tinggi terhadap pelaksanaan program celik al-Quran di semua kawasan dan Dewan Negeri (DUN) sebagai asas pembinaan masyarakat sejahtera.
“Kerajaan Negeri menetapkan bahawa seluruh rakyat mesti boleh membaca al-Quran dengan baik. Ini bukan sekadar sasaran umum, tetapi diterjemahkan melalui pelbagai program dan institusi pendidikan Islam yang sedang dan akan terus diperkasakan,” katanya menerusi media sosial.
Beliau menjelaskan, antara langkah konkrit yang dilaksanakan termasuk penubuhan serta pengukuhan Maahad Tahfiz di seluruh negeri di samping memberi sokongan kepada kemasukan pelajar ke sekolah tahfiz sedia ada.
“Usaha ini bertujuan memastikan setiap rumah di negeri ini mampu melahirkan sekurang-kurangnya seorang hafiz atau hafizah al-Quran, sekali gus menjadikan al-Quran sebagai asas kehidupan harian masyarakat,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Bahagian Negeri Kelantan yang konsisten menjadikan Majlis Khatam al-Quran sebagai program tahunan yang berimpak tinggi.
“Tahniah kepada Dato’ Ismail Md Noor selaku Pengerusi Persatuan Pesara Bahagian Kelantan serta seluruh jawatankuasa yang kini mempunyai lebih 4,000 ahli. Komitmen ini amat penting dalam memperluas budaya membaca dan menghayati al-Quran dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.
Beliau turut menggesa agar program seumpama itu diteruskan dan diperkasakan sebagai sebahagian daripada ekosistem dakwah dan pembangunan insan di peringkat akar umbi.














