Accessibility Tools

Skip to main content

Tiga inisiatif agromakanan bersepadu perkukuh keterjaminan makanan Kelantan

Oleh: Irham Hilmi Hashim

PASIR PUTEH, 29 April — Kerajaan Negeri Kelantan mempergiat pelaksanaan tiga inisiatif agromakanan berimpak tinggi secara bersepadu sebagai langkah strategik memperkukuh keterjaminan makanan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri yang mampan dan berdaya tahan.

Pendekatan tersebut menumpukan pelaksanaan menyeluruh di lapangan merangkumi sektor penternakan, tanaman bernilai tinggi dan industri hiliran bagi membina ekosistem agromakanan yang kukuh serta berdaya saing.

Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, usaha itu dilaksanakan secara tersusun dengan penekanan kepada keberkesanan pelaksanaan di peringkat akar umbi.

“Lawatan ke beberapa projek strategik di Pasir Puteh membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan setiap perancangan diterjemahkan kepada pelaksanaan yang berkesan dan memberi impak langsung kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan media sosial, semalam.

Menurutnya, lawatan dimulakan di Jeram Pasu BioART Centre bersama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Dr Mohd Zulkufli Zakaria bagi meninjau pembangunan sektor penternakan.

“Melalui Projek Pelestarian Lembu Naimbif dan Pusat Bio Animal Reproduction Center (BIO-Art), tumpuan diberikan kepada pemeliharaan baka berkualiti serta penggunaan teknologi pembiakan moden seperti permanian beradas bagi meningkatkan produktiviti ternakan,” katanya.

Beliau berkata, usaha memperkukuh bekalan makanan ternakan turut dilaksanakan melalui pembangunan fodder rumput termasuk penggunaan mesin baler di kawasan seluas 40 ekar.

“Langkah ini penting bagi memastikan bekalan makanan ternakan kekal konsisten, sekali gus memperkukuh keterjaminan makanan negeri serta mengurangkan kebergantungan kepada import,” ujarnya.

Dalam sektor tanaman bernilai tinggi, lawatan diteruskan ke Kelantan Bio Valley, Gong Datok bagi meninjau projek pembangunan tanah pertanian terbiar melalui penanaman halia muda oleh Kelantan Biotech Corporation Sdn. Bhd.

“Kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan membuktikan kesungguhan memaksimumkan penggunaan tanah terbiar secara produktif dengan pendekatan moden seperti struktur lindungan, sistem pengairan dan susun atur tanaman yang sistematik,” katanya.

Menurutnya lagi, projek tersebut berpotensi meningkatkan hasil pengeluaran serta menjana pulangan ekonomi lebih tinggi, sekali gus memperkukuh sektor tanaman bernilai tinggi.

Sementara itu, pembangunan industri hiliran diperkasakan melalui lawatan ke Makmal Inovasi Kelulut Darul Naim (MIKDAM) yang berfungsi sebagai pusat pengumpulan, pemprosesan dan kawalan kualiti madu kelulut.

“MIKDAM mampu meningkatkan nilai komersial produk serta memperluas pasaran ke peringkat lebih tinggi,” jelasnya.

Tambahnya, pembangunan industri kelulut melengkapkan rantaian nilai agromakanan negeri melalui penghasilan produk hiliran bernilai tambah.

“Kerajaan negeri akan terus memastikan setiap inisiatif dilaksanakan secara efektif dengan penggunaan teknologi moden dan pengurusan sistematik bagi meningkatkan produktiviti, menjana pendapatan serta memperkukuh daya tahan sektor agromakanan,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!