Sidang Parlimen inklusif perlu untuk perkasakan penyertaan wanita ASEAN - Dato' Mumtaz
Oleh: Syamimi Manah
KUALA LUMPUR, 28 April – Ahli Parlimen Tumpat YB Dato’ Mumtaz Md Nawi menyuarakan keperluan Sidang Parlimen yang lebih inklusif di peringkat Asia bagi memastikan penyertaan wanita dalam politik dan pembuatan dasar dapat diperkasa secara menyeluruh.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Parlimen Malaysia sebagai Ahli Delegasi ke 5th Meeting of the Coordinating Committee of Women Parliamentarians of AIPA (WAIPA).
Mesyuarat anjuran Parlimen Filipina itu berlangsung secara dalam talian pada Isnin.
Menurutnya, walaupun negara-negara Asia telah mencatat kemajuan dalam aspek kesaksamaan gender melalui pelbagai dasar dan reformasi institusi, namun halangan struktur seperti perundangan, sosio-budaya dan ekonomi masih menjadi kekangan utama kepada penyertaan wanita secara bermakna.
“Parlimen berteraskan transformasi gender bukan sekadar dinilai melalui jumlah penyertaan wanita, tetapi bagaimana institusi itu berfungsi secara inklusif dalam proses penggubalan undang-undang dan pembuatan keputusan,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa cabaran semasa seperti transformasi digital, kecerdasan buatan (AI), perubahan iklim dan ketidaktentuan ekonomi telah mewujudkan bentuk ketidaksamaan baharu yang memerlukan Parlimen di rantau ini berevolusi dari segi struktur, fungsi dan budaya.
Dalam konteks Malaysia, Dato' Mumtaz menjelaskan bahawa Parlimen memainkan peranan penting dalam memperkukuh tadbir urus responsif gender melalui fungsi legislatif dan pemantauan, termasuk menambah baik undang-undang berkaitan hak, perlindungan serta penyertaan wanita.
Menurutnya lagi, peningkatan penglibatan Ahli Parlimen wanita di negara ini turut menyumbang kepada kualiti perbahasan serta memperkukuh institusi demokrasi yang lebih seimbang dan matang.
Selain itu, beliau menekankan kepentingan pelaburan dalam pembangunan kepimpinan masa depan melalui penglibatan belia, termasuk menerusi program seperti Parlimen Belia, School of Parliament serta pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
“Usaha ini penting bagi melahirkan generasi pemimpin yang lebih inklusif, berdaya tahan dan peka terhadap keperluan masyarakat,” ujarnya.
Mengulas hala tuju masa depan pula Dato' Mumtaz berkata Malaysia menyokong agenda ASEAN yang memberi penekanan kepada penginstitusian amalan Parlimen berteraskan transformasi gender, termasuk pengintegrasian perspektif gender dalam proses perundangan, belanjawan dan mekanisme pemantauan.
Tambahnya, usaha memperkasa kepimpinan wanita serta meningkatkan penyertaan ekonomi wanita perlu terus dipergiat bagi memastikan pertumbuhan yang inklusif dan mampan di rantau ASEAN.












