Accessibility Tools

Skip to main content

Influencer tempatan meriahkan “Battle of Influencers” di Litar Go-Kart MOSKarting

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: FB Datuk Kamarudin Md Nor

KOTA DARULNAIM, 28 April - Program “Battle of Influencers” anjuran Kelab Go-Kart Cakna (KGC) menjadi platform unik menghimpunkan pempengaruh tempatan dalam suasana santai namun kompetitif.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamaruddin Md Nor berkata penganjuran program berkenaan bukan sahaja memeriahkan aktiviti rekreasi bahkan berperanan sebagai medium kreatif dalam mempromosikan sektor pelancongan negeri Kelantan kepada khalayak lebih luas.

“Program ini menggabungkan elemen sukan permotoran dan kandungan digital, sekali gus membuka peluang kepada pempengaruh untuk berkongsi pengalaman mereka kepada pengikut masing-masing.

“Inisiatif seperti ini mampu menarik minat lebih ramai pelancong, khususnya golongan muda yang cenderung kepada aktiviti sukan dan kandungan digital,” katanya menerusi media sosial, pada Isnin.

Tambahnya,  usaha memperkasa penganjuran program seumpama itu perlu diteruskan kerana ia berpotensi menjadi tarikan baharu dalam industri pelancongan negeri.

“Diharapkan lebih banyak program berkonsepkan kreatif dan interaktif dapat dianjurkan bagi memastikan sektor pelancongan kekal dinamik dan relevan dengan trend semasa,” jelasnya.
 
Terdahulu Datuk Kamaruddin merasmikan Program “Battle of Influencers” tersebut yang menampilkan penyertaan beberapa pempengaruh tempatan yang bersaing dalam perlumbaan go-kart, selain berkongsi kandungan menarik sepanjang acara berlangsung di Litar Go-Kart MOSKarting, Platinum Wholesale Mall, Kota Bharu pada Sabtu.

Pautan berjaya disalin!