Accessibility Tools

Skip to main content

Exco Perpaduan raikan rombongan India Pulau Pinang ke Kelantan

Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 28 April – Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad meraikan kunjungan rombongan masyarakat India dari Pulau Pinang yang mengadakan kunjung hormat ke pejabatnya, pada Ahad.

Rombongan tersebut dirai bersempena program Lawatan Kenali Kelantan selama dua hari iaitu pada 25 hingga 26 April.

Beliau berkata, pertemuan tersebut mencerminkan keakraban serta semangat perpaduan yang menjadi amalan masyarakat di negeri ini.

“Alhamdulillah, saya berbesar hati menerima kunjungan tetamu dari jauh, saudara kita dari komuniti India Pulau Pinang yang sudi singgah bersua di Kelantan.

“Seronok dapat meluangkan masa, bertemu dan beramah mesra bersama rombongan delegasi ini,” katanya dalam kenyataan di laman rasmi, pada Ahad.

Menurutnya, kunjungan berkenaan bukan sahaja mengeratkan hubungan antara negeri, malah menjadi ruang bermakna untuk saling bertegur sapa, bertukar pandangan serta memahami antara satu sama lain dengan lebih dekat.

“Pertemuan seperti ini memberi peluang untuk kita saling mengenali dengan lebih mendalam dalam suasana penuh hormat dan muhibah,” ujarnya.

Menurut YB Zamakhshari lagi, negeri Kelantan sentiasa meraikan tetamu dengan tangan terbuka, dengan nilai hormat, kasih sayang dan kebersamaan tanpa mengira latar belakang.

“Inilah wajah sebenar masyarakat Kelantan. Tetamu yang datang sentiasa kita raikan dengan penuh harmoni dan kasih sayang.

“Dalam kesederhanaan pertemuan ini, terserlah nilai muafakat, kebersamaan dan semangat perpaduan merentas kaum yang menjadi kekuatan kita di sini,” katanya.

Exco Perpaduan turut merakamkan penghargaan kepada rombongan berkenaan atas kunjungan yang disifatkan sebagai lawatan perpaduan yang membawa makna besar dalam memperkukuh hubungan antara masyarakat.

“Terima kasih kepada rombongan dari Pulau Pinang atas kunjungan yang penuh kemesraan ini. Semoga ikatan silaturahim serta semangat saling menghormati ini terus diperkasakan demi kesejahteraan bersama,” katanya.

Sepanjang lawatan selama dua di Kelantan, rombongan yang disertai 44 peserta itu telah mengadakan kunjungan ke beberapa lokasi kebudayaan dan keagamaan termasuk Kuil Sri Muthu Mariamman di Tumpat, Wat Siam dan Kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor, Wat Sleeping Buddha, Kuil Siva Subramaniyar di Kota Bharu, Kedai Nasi Belauk Kak Chik dan Ayang Cafe.

Pautan berjaya disalin!