Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan-Thailand jalin diplomasi konstruktif berimpak sejahtera rakyat

Oleh: Irham Hilmi Hashim

BANGKOK, 27 April — Kerajaan Negeri Kelantan komited memperkasa hubungan dengan Thailand melalui pendekatan diplomasi konstruktif yang menumpukan kerjasama kebudayaan, pendidikan dan pelancongan berasaskan warisan, sekali gus memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, lawatan rasmi ke Bangkok menjadi pemangkin penting dalam memperkukuh jalinan serumpun antara kedua-dua wilayah.

“Kerajaan Negeri Kelantan komited untuk terus memperkasa hubungan dengan Thailand melalui pendekatan diplomasi yang konstruktif, dengan memberi penekanan kepada kerjasama kebudayaan, pendidikan dan pelancongan berasaskan warisan yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menurutnya, antara fokus utama termasuk pelaksanaan pertukaran program seni dan budaya, pengukuhan jaringan institusi pendidikan serta usaha bersama memelihara khazanah warisan serumpun yang menjadi asas hubungan sejarah kedua-dua wilayah.

Lawatan rasmi itu dimulakan dengan sambutan oleh Duta Besar Malaysia ke Thailand TYT Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah yang turut menyampaikan taklimat mengenai peranan strategik kedutaan sebagai jambatan hubungan dua hala serta potensi kerjasama yang boleh diteroka.

“Diplomasi berfungsi sebagai pemudah cara yang efektif dalam merapatkan hubungan rentas sempadan, sekali gus membuka ruang kerjasama dalam sektor berimpak tinggi seperti pelaburan, pertanian, pelancongan dan pendidikan,” katanya.

Dalam rangka lawatan tersebut, Menteri Besar turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Kebudayaan Thailand Sabida Thaiseth di Kementerian Kebudayaan Thailand.

Perbincangan berlangsung dalam suasana konstruktif dengan tumpuan kepada pengukuhan kerjasama berasaskan warisan budaya dan pendidikan.

“Antara yang dibincangkan termasuk pertukaran program seni dan budaya, jaringan institusi pendidikan serta usaha bersama dalam memelihara dan memartabatkan khazanah warisan yang mampu memperkaya hubungan rakyat dan merangsang sektor pelancongan,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kedua-dua pihak memberi perhatian terhadap isu strategik serantau termasuk pengurusan banjir dan pembangunan bandar sempadan, khususnya di kawasan Rantau Panjang serta sepanjang Sungai Golok.

“Kerjasama bersepadu amat penting bagi memastikan kesejahteraan masyarakat di kawasan sempadan terus terpelihara melalui perancangan dan tindakan bersama yang berkesan,” ujarnya.

Lawatan itu turut disusuli dengan pertemuan bersama Syeikhul Islam Thailand Muhammad Jalaluddin Hussein (Arun Bunchom).

Rentetan itu, Dato' Mohd Nassuruddin menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan akan terus memperkasa jaringan institusi pondok, memelihara tradisi keilmuan Islam serta memperkukuh nilai Islam dan Melayu sebagai asas kukuh yang menyatukan hubungan sejarah dan peradaban antara kedua-dua wilayah.

Pautan berjaya disalin!