Pelatih Darul Niswah dinasihat tamatkan latihan jahitan
Oleh: Asri Hamat
TUMPAT, 28 April – Pelatih jahitan Darul Niswah (PPWK) di seluruh negeri ini dinasihat menamatkan latihan masing-masing bagi memastikan kemahiran yang dipelajari dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Rohani Ibrahim berkata, pelatih yang tidak menghabiskan latihan diibaratkan seperti menjahit pakaian yang tidak siap.
Menurutnya, setiap peserta perlu menamatkan pembelajaran sehingga mampu menghasilkan sepasang pakaian dengan sempurna sebagai bukti penguasaan kemahiran asas.
“Belajar biarlah sampai tamat. Sekurang-kurangnya mampu menyiapkan sehelai baju dengan baik. Itu tanda kita benar-benar faham asas yang dipelajari," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sehari Bersama Pelatih Darul Niswah, di sebuah resort, di sini, pada Isnin.
Beliau turut menjelaskan bahawa walaupun terdapat kursus jangka pendek yang diambil, pelatih tetap perlu menghabiskan tempoh latihan agar ilmu yang diperoleh dapat diaplikasikan dengan baik.
Tambahnya, kejayaan dalam pembelajaran memerlukan keikhlasan dan kesungguhan, selain kesediaan menghadapi kesilapan sepanjang proses latihan.
“Setiap jahitan pasti ada kesilapan, tetapi kesilapan itu perlu diperbaiki untuk menghasilkan mutu kerja yang lebih baik. Jangan takut gagal kerana itu adalah proses pembelajaran,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau juga memotivasi pelatih agar tidak mudah berputus asa atau berasa bosan apabila ditegur oleh tenaga pengajar.
Katanya, bimbingan guru memainkan peranan penting dalam membentuk pelajar yang berjaya, dengan syarat mereka mempunyai keinginan untuk cemerlang dalam bidang yang diceburi.
“Yakinlah bahawa apa yang dipelajari hari ini akan membantu mencorakkan masa depan serta membina ekonomi sendiri,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan kerajaan negeri sentiasa komited menyediakan peruntukan bagi memastikan golongan muda mendapat peluang meningkatkan kemahiran dan menjana pendapatan melalui program latihan yang disediakan.
Untuk rekod, program yang bermula sejak 2005 itu telah memberi manfaat kepada hampir 8,024 anak muda melalui latihan dalam bidang jahitan dan sulaman, khususnya menerusi Unit Kemahiran di bawah Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa).
Turut hadir, Timbalan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Nor Asilah Mohd Zin, Pengarah U-KeKWa Ilvira Mohd Dasuki, Penolong-penolong Pengarah Kanan U-KeKWa serta para pelatih jahitan.












