33 penduduk Selising terima skim bantuan kerajaan negeri
Oleh: Irham Hilmi Hashim
PASIR PUTEH, 25 April — Sebanyak 33 penduduk di Selising menerima manfaat pelbagai skim bantuan kebajikan yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri dalam satu majlis yang berlangsung di Pusat Khidmat DUN (PKD) Selising, Sabtu lalu.
Bantuan yang diagihkan melibatkan Skim Kifaalah, Skim Az-Ziwaaj dan Skim Armalah sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial rakyat.
Majlis penyampaian sumbangan tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Selising YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail yang juga Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi.
Menurutnya, antara bentuk bantuan yang diagihkan ialah cek Skim Az-Ziwaaj kepada enam penerima yang layak sebagai sokongan kepada pasangan yang mendirikan rumah tangga.
"Di samping itu, Skim Manfaat Armalah disumbangkan untuk dimanfaatkan tiga penerima dalam kalangan golongan wanita yang memerlukan perhatian khusus.
Dalam masa yang sama, sejumlah 24 waris turut menerima Skim Kifaalah sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan keluarga yang kehilangan insan tersayang," katanya melalui laman rasmi, pada Ahad.
Beliau menegaskan bahawa pelaksanaan pelbagai skim kebajikan tersebut merupakan manifestasi keprihatinan berterusan kerajaan negeri terhadap kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan negeri komited memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara melalui pelaksanaan skim-skim bantuan yang bersasar seperti Skim Kifaalah, Az-Ziwaaj dan Armalah. Bantuan ini bukan sahaja meringankan beban kewangan, malah menjadi tanda sokongan kerajaan kepada rakyat dalam pelbagai fasa kehidupan,” jelasnya.
Beliau turut berharap agar inisiatif tersebut dapat membantu penerima menjalani kehidupan dengan lebih baik di samping memperkukuh institusi kekeluargaan dan keharmonian masyarakat.














