Masyarakat India Pulau Pinang kagum suasana harmoni di Kelantan
Oleh: Syamimi Manah
KOTA BHARU, 27 April – Rombongan masyarakat India dari Pulau Pinang yang disertai 44 peserta menyatakan rasa kagum terhadap suasana harmoni, keselamatan serta hubungan baik antara kaum yang diamalkan di Kelantan sepanjang Program Lawatan Kenali Kelantan pada 25 dan 26 April.
Ketua rombongan Ramani Kurunalham, 57, berkata pengalaman dua hari di negeri ini membuka perspektif baharu terhadap kehidupan masyarakat pelbagai kaum yang hidup dalam keadaan aman dan saling menghormati.
“Hasrat kami adalah untuk melihat kehidupan orang-orang dekat sini. Kami dapat satu pengalaman baru kehidupan semua kaum di Kelantan.
Ramani Kurunalham, 57
“Dua hari di Kelantan ini, kami lihat orang-orang di sini sangat peramah. Perbezaan kaum langsung tidak ditonjolkan. Semua kaum bebas dan mesra,” katanya ketika ditemui, semalam.
Beliau berkata, rombongan turut dibawa melawat beberapa lokasi ibadat termasuk kuil Hindu, dan mendapati masyarakat India di Kelantan hidup dalam keadaan selamat serta gembira.
“Kami juga melawat dua kuil Hindu untuk melihat sendiri pengalaman kaum Hindu di Kelantan. Kami dapati mereka hidup dalam keadaan selamat dan aman.
“Tiada rungutan yang kami dengar. Malah kami terkejut melihat mereka begitu gembira tinggal di Kelantan. Ini satu pengalaman yang luar biasa bagi kami,” ujarnya.
Menurutnya lagi, layanan mesra masyarakat tempatan turut memberi kesan mendalam kepada rombongan, selain pengalaman menikmati makanan tradisi Kelantan.
“Kami dibawa ke Nasi Belauk Kak Chik di Tumpat dan makanan di situ sangat sedap. Saya suka nasi berlauk ikan. Kami juga ke Ayang Cafe di Kota Bharu dengan pelbagai makanan tradisi Kelantan,” katanya.
Seorang lagi peserta Manuel Sebastian, 73, turut meluahkan rasa teruja dengan suasana mesra yang ditunjukkan masyarakat Kelantan.
Manuel Sebastian, 73
“Di sini kita lihat orang Kelantan semua sopan santun. Ini kali pertama saya datang Kelantan. Kami rasa sangat dialu-alukan,” jelasnya.
Beliau berkata rombongan berhasrat untuk kembali semula ke Kelantan bagi tempoh yang lebih lama pada masa akan datang bagi memahami kehidupan masyarakat negeri ini dengan lebih mendalam.
Sementara itu, Jesintha Devi Muthiah, 51, berkata beliau berasa selamat sepanjang berada di Kota Bharu.
Jesintha Devi Muthiah, 51
“Kalau saya berjalan di Kota Bharu pun, saya rasa selamat. Ramai yang membantu walaupun tidak diminta,” katanya.
Beliau turut menyatakan rasa kagum terhadap penggunaan dialek yang sama dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.
“Saya terkejut apabila dengar orang Melayu, Cina dan India semua bercakap dalam dialek yang sama. Di negeri lain, perkara seperti ini sukar dilihat,” katanya.
Sepanjang lawatan, rombongan turut dibawa mengunjungi Kuil Sri Muthu Mariamman Tumpat, Wat Siam dan Kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor, Wat Sleeping Buddha, Kuil Siva Subramaniyar Kota Bharu serta mengadakan pertemuan bersama Exco Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad.
















