PKPN sokong usaha kerajaan negeri tambah baik skim CFS
Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 27 April — Persatuan Pegawai - pegawai Kontrak Untuk Perkhidmatan Negeri Kelantan (PKPN) menzahirkan sokongan terhadap komitmen Kerajaan Negeri untuk meneliti penambahbaikan skim Contract for Service (CFS) secara menyeluruh, sekali gus memperkukuh kebajikan dan kestabilan kerjaya penjawat awam kontrak.
Presidennya, Ahmad Mustapha Abdul Azais berkata, pendekatan berhati-hati dan berimbang yang diambil oleh Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan semua penjawat awam tanpa mengira status perkhidmatan.
“Pendekatan ini amat kami alu-alukan kerana inisiatif ini membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap peranan penting penjawat awam sebagai tulang belakang pentadbiran negeri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya lagi, sebarang penambahbaikan terhadap skim CFS perlu dilaksanakan secara komprehensif dengan mengambil kira aspek kebajikan dan pembangunan kerjaya petugas kontrak.
“Kita berharap penambahbaikan ini dapat menjamin kestabilan kerjaya dan kebajikan petugas kontrak, di samping memberi ruang pembangunan profesional yang adil.
“Dalam masa yang sama, keseimbangan antara kecekapan pentadbiran dan kesejahteraan tenaga kerja juga perlu diberi perhatian,” jelasnya.
Beliau memaklumkan bahawa, PKPN bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri serta pihak berkaitan bagi menyalurkan pandangan konstruktif dalam usaha memperkasa skim tersebut.
“Persatuan komited untuk memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam memastikan skim CFS dapat diperkasa secara inklusif dan mampan,” ujarnya.








