Accessibility Tools

Skip to main content

Peruntukan RM850,000 pacu pembangunan pelancongan di Dataran Guillemard

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA DARULNAIM, 27 April — Inisiatif Kerajaan Negeri Kelantan menyalurkan RM350,000 serta sumbangan RM500,000 daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dilihat sebagai langkah strategik dalam merancakkan pembangunan pelancongan di kawasan Jambatan Kereta api Guillemard, Tanah Merah melalui penyediaan kemudahan lebih lengkap, kondusif dan berdaya tarikan kepada pengunjung.

Peruntukan tersebut merangkumi pembinaan galeri, perpustakaan dan surau, di samping projek penyambungan esplanade yang dijangka memperkukuh daya tarikan kawasan berkenaan sebagai destinasi pelancongan rekreasi dan berasaskan warisan.

Perkara itu dimaklumkan Ahli Dewan Negeri (ADN) Gual Ipoh YB Bahari Mohamad Nor ketika mengambil bahagian dalam Persidangan Kali Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Kelima Belas Tahun 2026, pada Rabu lalu.

Menurutnya, pembangunan kemudahan tersebut berpotensi mengembangkan elemen pelancongan berasaskan ilmu dan warisan, selain menyediakan ruang ibadah serta kemudahan komuniti yang lebih tersusun kepada pengunjung dan penduduk setempat.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dan persekutuan dalam memperkasa pembangunan pelancongan luar bandar sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi setempat yang mampan.

“Saya berterima kasih kepada pihak Kerajaan Negeri kerana telah meluluskan pembinaan galeri, perpustakaan dan surau yang bernilai RM350,000. Pada masa sama, penghargaan juga kepada pihak MOTAC yang telah meluluskan penyambungan esplanade di kawasan ini bernilai RM500,000,” katanya.

Menurutnya, penyambungan esplanade itu dijangka meningkatkan lagi daya tarikan Dataran Guillemard sebagai destinasi pelancongan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat melalui peningkatan kehadiran pelancong.

Dalam masa sama, beliau memohon agar pelaksanaan projek yang telah diluluskan itu dapat disegerakan bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati rakyat dan pengunjung dalam tempoh terdekat.

“Cuma saya memohon agar kelulusan ini disegerakan untuk pelaksanaannya,” tambahnya.

Pautan berjaya disalin!