Accessibility Tools

Skip to main content

Sinergi U-KeKWa–MCC martabatkan songket, kelingkan ke peringkat global

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: FB YB Dato Hjh. Rohani

KOTA DARULNAIM, 27 April — Sinergi kukuh antara Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) dan Malaysian Craft Council (MCC) dalam mempergiat usaha memartabatkan seni warisan tekstil negara khususnya songket dan kelingkan di peringkat global demi memastikan kelangsungannya kekal relevan serta dihargai generasi masa kini dan akan datang.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Dato’ Rohani Ibrahim berkata, kerjasama strategik itu menjadi pemacu penting dalam memperkasa industri warisan melalui pendekatan inklusif yang melibatkan agensi kerajaan, penggiat industri dan komuniti setempat.

Menurutnya, penganjuran Majlis The Textile Project (TTP) Soirée oleh MCC di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur menjadi platform berimpak tinggi untuk mengetengahkan usaha pemeliharaan dan pemerkasaan tekstil tradisional negara.

“Program ini bukan sahaja mempromosikan keindahan songket dan kelingkan, malah mengukuhkan jaringan kerjasama antara pelbagai pihak termasuk pengusaha, artisan dan badan bukan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, majlis yang berlangsung semalam itu turut diserikan dengan keberangkatan Tengku Temenggong Kelantan, YBM Tengku Tan Sri Dato’ Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan Tengku Puan Temenggong Kelantan, YM Tunku Dato’ Noor Hayati Al-Marhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, mencerminkan sokongan berterusan institusi diraja terhadap usaha memperkasakan warisan budaya serta pembangunan komuniti, khususnya wanita.

Menurutnya, dukungan tersebut menjadi pemangkin penting dalam memastikan seni warisan terus dipelihara dan dipromosikan ke tahap lebih tinggi.

“Diharapkan inisiatif seperti ini dapat diteruskan bagi memastikan warisan tekstil negara bukan sahaja kekal terpelihara, malah mampu bersaing dan mendapat pengiktirafan di peringkat global,” katanya.

Dato' Rohani juga melihat usaha bersepadu itu sebagai langkah strategik dalam memperkasa identiti budaya negara, di samping membuka peluang ekonomi baharu kepada penggiat industri tekstil tradisional.

Pautan berjaya disalin!