Accessibility Tools

Skip to main content

300 pelumba sertai Kelantan MX ASEAN Gathering, serlah potensi hab permotoran serantau

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto:  Media YB Zamakhshari

PASIR MAS, 27 April – Sebanyak 300 pelumba dari dalam dan luar negara menyertai Kelantan MX ASEAN Gathering yang berlangsung di Litar Motorcross Teluk Kerengga, Kampung Paloh Tendong, sekali gus menyerlahkan potensi Kelantan sebagai hab sukan permotoran serantau.

Program selama tiga hari bermula 24 hingga 26 April anjuran Kelab Sukan Bermotor Teluk Kerengga (KSBTK) di bawah seliaan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan itu berjaya menarik minat peserta antarabangsa dari Indonesia, Filipina, Thailand dan Singapura.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, penganjuran acara tersebut membuktikan sukan motocross bukan sahaja mendapat sambutan dalam kalangan anak muda tempatan, malah semakin diiktiraf di peringkat serantau.

Menurutnya, sukan lasak seperti motocross merupakan platform terbaik untuk menyalurkan minat dan tenaga belia ke arah aktiviti yang lebih positif, berdisiplin dan terkawal.

“Anak muda kita mempunyai semangat dan tenaga yang besar. Sukan seperti ini menyediakan ruang yang lebih selamat untuk mereka mengasah bakat serta membina disiplin diri,” katanya dalam kenyataan di laman rasmi, semalam.

Tambahnya, kerajaan negeri sentiasa menyokong penganjuran sukan berunsurkan lasak kerana ia turut memberi impak kepada pembangunan belia serta membuka peluang kepada pertumbuhan sektor pelancongan sukan.

Pelbagai kategori dipertandingkan sepanjang kejohanan tersebut termasuk Cubcross, MX Open, MX VIP 40 dan MX Singapore yang menyaksikan saingan sengit dalam kalangan peserta pelbagai peringkat.

Dalam pada itu, YB Zamakhshari merakamkan penghargaan kepada KSBTK selaku penganjur dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan dan rakan strategik serta semua peserta yang menjayakan program tersebut.

“Penyertaan pelumba dari empat negara membuktikan Kelantan semakin dikenali sebagai destinasi sukan permotoran serantau,” ujarnya.

Beliau turut berharap penganjuran seumpama itu dapat diteruskan bagi memperkukuh ekosistem sukan permotoran di negeri ini di samping memberi manfaat kepada ekonomi setempat.

Pautan berjaya disalin!