Accessibility Tools

Skip to main content

Kerajaan negeri danai penerbitan antologi puisi Kelantan – Perlis 2026

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 27 April — Kerajaan Negeri Kelantan mendanai sepenuhnya penerbitan antologi puisi Kelantan–Perlis 2026 berjudul Hujan dan Daun di Halaman, sekali gus memperkukuh jaringan kesusasteraan antara negeri serta memperkaya khazanah sastera tanah air.

Antologi tersebut memuatkan 101 puisi karya 55 penyair Kelantan dan 46 penyair Perlis serta diterbitkan hasil kerjasama Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (Peradaban) dan Persatuan Penulis Perlis (3P) dengan sokongan Kerajaan Negeri Kelantan.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Mat Nor berkata, inisiatif itu membuka ruang perkongsian idea dan pengalaman dalam kalangan penulis, di samping mengangkat kepelbagaian suara dan perspektif dalam dunia kesusasteraan.

“Jalinan kerjasama antara negeri ini menjadi asas penting dalam memperluas jaringan budaya, sekali gus mengangkat martabat kesenian tempatan ke peringkat lebih tinggi,” katanya menerusi hantaran di media sosial, semalam.

Menurutnya, usaha seumpama itu wajar diteruskan bagi memastikan seni sastera kekal relevan serta dihargai oleh generasi masa kini.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Pelancaran dan Bicara Buku antologi berkenaan yang berlangsung di sebuah hotel di Kota Bharu, pada Sabtu.

Program pelancaran naskhah tersebut dianjurkan Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama Peradaban, Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan (MKN) serta 3P.

Acara itu menghimpunkan penulis, penyair serta pencinta sastera dari kedua-dua negeri dalam satu wadah yang mempererat hubungan budaya dan memperkukuh perkembangan kesusasteraan Melayu di peringkat serantau.

Pautan berjaya disalin!