Accessibility Tools

Skip to main content

Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan


Kerajaan negeri sokong perluasan perkhidmatan terapi cara kerja – TMB

Oleh: Syamimi Manah

KOTA BHARU, 26 April – Kerajaan Negeri Kelantan komited menyokong usaha memperluas perkhidmatan terapi cara kerja bagi memenuhi keperluan rakyat yang semakin meningkat. 

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, keperluan terhadap perkhidmatan tersebut kini semakin meningkat, khususnya dalam membantu pesakit menjalani rawatan susulan selepas menerima rawatan di hospital.

“Kerajaan negeri amat prihatin dan ingin turut serta dalam memperkukuhkan bidang ini. Kita mengalu-alukan lebih banyak program serta kerjasama dengan pihak persatuan bagi memperluaskan perkhidmatan terapi cara kerja di Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Malaysian Occupational Therapist National Conference (MOTNC) 2026 di Hotel Perdana di sini, hari ini.

Menurutnya, rawatan perubatan di hospital sahaja tidak mencukupi tanpa disusuli terapi pemulihan yang berterusan bagi memastikan pesakit benar-benar pulih dan kembali berfungsi dalam kehidupan seharian.

“Perubatan di hospital perlu dibantu dengan terapi. Namun, kesedaran untuk mendapatkan rawatan susulan melalui terapi masih belum mencukupi dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa keperluan terhadap Ahli Terapi Cara Kerja di negeri ini semakin meningkat seiring dengan kesedaran rakyat terhadap penjagaan kesihatan.

“Ketika ini kita mempunyai kira-kira 150 Ahli Terapi Cara Kerja di Kelantan. Jumlah ini masih belum mencukupi dan saya berharap dapat digandakan kepada 300 orang pada masa akan datang,” ujarnya.

Tambahnya, peningkatan kesedaran kesihatan dalam kalangan rakyat turut dapat dilihat melalui permohonan tinggi terhadap perlindungan takaful perubatan serta permintaan terhadap rawatan susulan di rumah.

“Keperluan untuk rawatan susulan di rumah juga semakin tinggi, dan ini menunjukkan peranan terapi cara kerja sangat penting dalam sistem penjagaan kesihatan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Terapi Cara Kerja Malaysia Nora Hamid berkata, kebanyakan perkhidmatan terapi cara kerja tertumpu kepada pemulihan pesakit strok, yang merupakan antara penyakit tidak berjangkit tertinggi di Malaysia.

Beliau berkata, pesakit strok lazimnya kehilangan keupayaan untuk berdikari, justeru peranan ahli terapi adalah membantu mereka kembali ke tahap optimum termasuk mengurus diri sendiri serta kembali bekerja dan bermasyarakat.

Selain itu, katanya, kes kemalangan jalan raya serta peningkatan bilangan kanak-kanak berkeperluan khas turut menyumbang kepada permintaan tinggi terhadap perkhidmatan tersebut.

“Perkhidmatan terapi cara kerja bukan sahaja kepada pesakit, tetapi juga kepada ibu bapa bagi memperkasakan mereka membantu anak-anak di rumah,” jelasnya.

Pautan berjaya disalin!