Ahli Terapi Cara Kerja pulihkan pesakit, kembalikan fungsi dalam masyarakat – TMB Kelantan
Oleh: Syamimi Manah
KOTA BHARU, 26 April – Ahli Terapi Cara Kerja bukan sahaja berperanan memulihkan pesakit, sebaliknya membantu mereka kembali berfungsi dalam masyarakat secara menyeluruh.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, skop peranan profesion itu jauh melangkaui aspek rawatan fizikal apabila turut memberi tumpuan kepada keupayaan individu untuk kembali bekerja, memandu serta menjalani kehidupan harian dengan lebih bermakna.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan
“Peranan anda semua sangat kritikal. Matlamatnya bukan sekadar ‘return to function’, tetapi lebih besar iaitu memastikan pesakit dapat kembali menyumbang dalam masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Malaysian Occupational Therapist National Conference (MOTNC) 2026 di Hotel Perdana di sini, hari ini.
Menurutnya, kolaborasi strategik antara Persatuan Terapi Cara Kerja Malaysia bersama Terapi Cara Kerja Kementerian Kesihatan Malaysia Negeri Kelantan, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (USM) serta Pusat Transformasi OKU USM-MAIK mencerminkan pendekatan “whole-of-nation” dalam memperkukuh sistem kesihatan negara.
Mengulas lanjut, beliau berkata tema persidangan tahun ini, “Transforming Practice, Empowering Communities: The Future of Occupational Therapy” menuntut perubahan daripada pendekatan konvensional kepada pendekatan lebih holistik, bersepadu dan berpusatkan komuniti.
Katanya, berdasarkan data semasa, seramai 3,069 Ahli Terapi Cara Kerja berdaftar di bawah Akta 774 dengan lebih separuh berkhidmat dalam Kementerian Kesihatan Malaysia, manakala selebihnya dalam sektor pendidikan, PERKESO, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Di Kelantan, kita mempunyai kira-kira 150 Ahli Terapi Cara Kerja yang komited memberi perkhidmatan terbaik, khususnya kepada golongan rentan seperti warga emas, kanak-kanak berkeperluan khas dan pesakit rehabilitasi,” ujarnya.
Timbalan Menteri Besar Kelantan turut menegaskan bahawa dalam era kecerdasan buatan (AI), automasi dan robotik, nilai kemanusiaan dalam rawatan tidak boleh digantikan oleh teknologi.
“Teknologi boleh membantu, tetapi empati, sentuhan manusia dan kebijaksanaan klinikal tidak boleh diautomasi,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru generasi muda dalam bidang berkenaan agar memanfaatkan platform seperti MOTNC untuk membina jaringan profesional, memperkaya ilmu serta meneroka bidang pengkhususan baharu.
Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran persidangan berkenaan turut memberi impak positif kepada ekonomi negeri melalui kehadiran lebih 200 delegasi dari seluruh negara, sekali gus merancakkan sektor pelancongan domestik.
Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan turut berkesempatan melawat ruang pameran yang menampilkan pelbagai inovasi, peralatan serta pendekatan terkini dalam bidang terapi cara kerja sejurus selepas merasmikan persidangan tersebut.
Sementara itu, Pengerusi MOTNC 2026 Dr. Harnisha Haidhir berkata, persidangan selama empat hari itu berjaya menghimpunkan lebih 250 Ahli Terapi Cara Kerja dari pelbagai latar belakang termasuk penyertaan dari beberapa negara Asia seperti Hong Kong, Indonesia dan Vietnam.
Menurutnya, pelbagai pengisian dirangka termasuk bengkel, sesi praktikal, forum, pembentangan kertas kerja dan perkongsian amalan terbaik bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Presiden Persatuan Terapi Cara Kerja Malaysia, Nora Hamid pula berharap lebih ramai pengamal dalam bidang itu mendaftar dengan persatuan berkenaan bagi memperkukuh profesion tersebut.
Beliau berkata, tanpa mengira lokasi perkhidmatan sama ada di hospital, komuniti, sekolah atau industri, matlamat utama Ahli Terapi Cara Kerja kekal sama iaitu membantu pesakit mencapai tahap kesembuhan optimum serta kembali berfungsi dalam kehidupan seharian.


















