Kelantan fokus lahirkan teknokrat Islam melalui pendidikan seimbang - Timbalan Exco Pendidikan
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA BHARU, 26 April — Usaha melahirkan generasi teknokrat Islam yang menguasai ilmu agama serta kemahiran teknologi, inovasi dan literasi digital menjadi fokus utama dalam pemerkasaan pendidikan Islam di Kelantan.
Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Kamaruzaman Mohamad berkata, pendekatan pendidikan Islam hari ini perlu bergerak secara seimbang antara penguasaan ilmu turath dan keupayaan menghadapi cabaran dunia moden.
Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Kamaruzaman Mohamad
Menurutnya, hasrat kerajaan negeri adalah untuk membentuk pelajar yang bukan sahaja memahami bidang tradisi Islam seperti tafsir, fekah dan hadis, malah turut memiliki kompetensi dalam teknologi dan inovasi.
“Kita mahu melahirkan generasi pelajar yang bukan sahaja memahami tafsir, fekah, hadis dan ilmu-ilmu turath tetapi pada masa yang sama memiliki kemampuan dalam bidang teknologi, inovasi dan literasi digital.
“Ini adalah hasrat besar kita iaitu untuk melihat lahirnya generasi teknokrat Islam yang mampu memanfaatkan teknologi bagi memperkukuh dakwah, memajukan ekonomi ummah, menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan memelihara kelestarian alam,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Karnival Pendidikan Islam Kelantan 2026 yang berlangsung di Dewan Johor, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), pagi ini.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pendidikan Islam tidak boleh lagi dilihat secara terpisah daripada perkembangan dunia digital, sebaliknya perlu bergerak seiring agar pelajar kekal relevan dan berdaya saing.
Katanya, cabaran semasa menuntut sistem pendidikan yang lebih holistik, bukan sahaja menekankan pencapaian akademik tetapi juga penghayatan agama serta pembinaan akhlak.
Beliau turut menyentuh realiti semasa yang menunjukkan wujudnya individu berpendidikan tinggi terlibat dalam salah laku, sekali gus memberi isyarat bahawa pendidikan tanpa penghayatan tidak mencukupi dalam membentuk jati diri.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar pendekatan pendidikan disusun semula dengan memberi penekanan kepada keseimbangan antara ilmu, akhlak dan kemahiran semasa.
Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan bahawa sistem pendidikan di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) mempunyai kelebihan tersendiri dalam melahirkan pelajar yang seimbang dari sudut ilmu dan sahsiah, sekali gus menjadi identiti pendidikan negeri.
Tambah beliau, cabaran era digital kini semakin kompleks apabila pengaruh negatif boleh diakses tanpa sempadan, termasuk dari dalam rumah sendiri, justeru memerlukan pendekatan pendidikan yang lebih bersepadu dan berkesan.
“Kita mahu pendidikan Islam ini menjadi pilihan utama ibu bapa, bukan sekadar untuk pencapaian akademik tetapi untuk melahirkan generasi soleh yang mampu memimpin masyarakat dan negara,” ujarnya lagi.
Turut hadir Rektor KIAS Profesor Dr. Maszlan Ibrahim. Ahli Lembaga KIAS Darulnaim merangkap Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru Dato’ Bentara Setia, Profesor Emeritus Dato' Dr. Johari Mat serta Timbalan Pengarah Pengurusan YIK, Muhammad Kamaruddin Omar yang mewakili Pengarah YIK.
















