Pengorbanan Wira Negara Wajib Dihargai – YB Zamakhshari
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 26 April – Pengorbanan barisan wira negara yang mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan kedaulatan tanah air wajar sentiasa dihargai dan dikenang sepanjang masa, kata Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Mohamad.
Katanya, keamanan yang dinikmati rakyat hari ini adalah hasil keringat, keberanian serta kesetiaan anggota keselamatan, sama ada yang masih berkhidmat mahupun yang telah bersara.
Menurutnya, walaupun sebahagian daripada mereka tidak lagi menyarung pakaian seragam, jasa dan pengorbanan mereka tetap kekal besar kepada negara.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Mohamad
“Bangsa yang bermaruah adalah bangsa yang tidak melupakan jasa perwiranya,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial pada Sabtu.
Terdahulu, beliau merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Veteran Rejimen Semboyan Diraja Negeri Kelantan di Institut Pembangunan Modal Insan (IPMI), Zon Timur, Kota Bharu.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur serta jawatankuasa persatuan atas usaha menganjurkan program berkenaan.
Katanya, penganjuran majlis yang menghimpunkan semula rakan seperjuangan merupakan satu inisiatif yang amat bermakna.
“Ia bukan sekadar medan perbincangan, tetapi juga ruang terbaik untuk mengeratkan kembali ukhuwah selain meneliti keperluan dan kebajikan ahli secara lebih dekat,” katanya.
Beliau berharap usaha seumpama itu dapat diteruskan bagi memastikan kebajikan veteran sentiasa terbela serta hubungan sesama ahli terus diperkukuh.












