Pendidikan Anak Perlu Seimbang Dunia dan Akhirat – Exco Pendidikan
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: FB YB Dato' Wan Roslan
KOTA DARULNAIM, 26 April – Mendidik anak-anak tidak seharusnya tertumpu kepada pencapaian dunia semata-mata, sebaliknya perlu memberi penekanan kepada pembinaan asas kehidupan yang diredhai Allah SWT, kata Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat.
Katanya, terdapat tiga perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa dan pendidik dalam membentuk generasi berkualiti.
“Pertama, menanam kasih kepada Nabi Muhammad SAW agar lahir rasa cinta dan kesungguhan untuk mencontohi sunnah Baginda.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat
“Kedua, memupuk kasih kepada ahli keluarga sebagai asas kepada pembinaan masyarakat yang harmoni dan beradab.
“Ketiga, mendidik anak-anak membaca al-Quran sebagai panduan hidup serta sumber kekuatan jiwa,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial pada Khamis.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama erat antara pihak sekolah dan ibu bapa amat penting dalam memastikan pendidikan anak-anak terus diperkasa, bukan sahaja dari sudut akademik tetapi juga pembinaan sahsiah dan akhlak.
Terdahulu beliau merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kali Ke-16 Sekolah Menengah Ugama (Arab) Al-Kauthar SABK, Kampung Peringat, di sini.
Majlis tersebut turut diserikan dengan penyampaian anugerah kecemerlangan akademik dan kokurikulum sebagai penghargaan kepada pelajar yang menunjukkan prestasi cemerlang serta aktif dalam pelbagai bidang.
Hadir sama, Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK) , Shamsul Abu Bakar bersama barisan kepimpinan sekolah dan PIBG.
YB Dato' Wan Roslan turut berharap segala usaha yang dilaksanakan pihak kerajaan dan sekolah mampu melahirkan generasi rabbani yang berilmu, berakhlak serta berbakti kepada agama dan ummah.
“Terima kasih kepada semua pihak yang hadir dan terus menyumbang demi kecemerlangan pendidikan,” katanya.












