Kelantan mesra pelabur, Jawatankuasa Khas ditubuh nilai semula dasar dan sistem
Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 23 April — Kerajaan Negeri Kelantan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menilai semula sistem dan dasar pelaburan secara menyeluruh, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai destinasi mesra pelabur.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan memaklumkan bahawa Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh YB Mulia Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan dan berperanan meneliti struktur fi, caj serta prosedur di semua peringkat termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah.
Menurutnya, langkah itu merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri dalam memastikan persekitaran pelaburan yang lebih kompetitif dan efisien.
"Antara fokus utama jawatankuasa tersebut ialah memastikan kadar fi dan caj yang dikenakan lebih kompetitif berbanding negeri lain melalui pelaksanaan penanda aras.
“Selain itu, kita turut memberi penekanan kepada usaha mengurangkan halangan birokrasi serta memperkemas sistem penyampaian bagi memudahkan urusan pelabur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Perbahasan Titah Diraja sempena Persidangan Kali Yang Pertama Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Ke-15 Tahun 2026, pada Rabu.
Tambahnya, pendekatan tersebut bertujuan menarik lebih ramai pelabur ke Kelantan di samping mengukuhkan imej negeri sebagai destinasi pelaburan yang kondusif.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan beberapa projek pembangunan strategik di pelbagai kawasan sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.
"Di Ketereh, pembangunan Bandar Baharu Buloh Poh dan Kok Lanas kini berada pada peringkat penilaian oleh INVEST Kelantan, manakala di Gua Musang, Projek Halaqat City sedang melalui proses penyelarasan dasar serta kelulusan peringkat Persekutuan.
“Bagi kawasan Tumpat dan Kuala Krai, usaha sedang giat dijalankan untuk menarik pelabur bagi pembangunan Bandar Tumpat Perdana serta pusat pentadbiran baharu,” jelasnya.
Manakala di Rantau Panjang pula, penyusunan semula Zon Bebas Cukai sedang dilaksanakan termasuk penambahbaikan pelan susun atur bagi meningkatkan daya tarikan kawasan tersebut.








