Kelantan laksana skim Qardu Hassan bantu usahawan, peruntukkan dana RM1 juta
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 23 April - Kerajaan Negeri Kelantan telah meluluskan pelaksanaan skim kredit mikro berteraskan konsep Qardu Hassan sebagai satu intervensi strategik berimpak tinggi dengan memperuntukkan dana berjumlah RM1 juta sebagai pemangkin utama.
Timbalan Menteri Besar YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Dato' Hassan berkata kerajaan negeri menawarkan pembiayaan antara RM3,000 hingga RM10,000 kepada usahawan dengan tempoh bayaran balik fleksibel antara tiga hingga lima tahun.
“Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan dan iltizam kerajaan negeri dalam memperluas akses pembiayaan kepada golongan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS), khususnya mereka yang berdepan kekangan untuk mendapatkan kemudahan melalui saluran perbankan konvensional," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Perbahasan Titah Diraja, Persidangan Kali Yang Pertama Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2026, pada Rabu.
Tambahnya,melalui pendekatan lebih anjal dan mesra usahawan, skim itu membuka ruang kepada golongan yang kekurangan dokumen kewangan, berpendapatan tidak tetap serta tidak mempunyai cagaran.
Katanya lagi, sebagai langkah pemantapan pelaksanaan, satu sesi taklimat telah diadakan pada 6 April 2026 melibatkan pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN), yang dihadiri Ahli Yang Berhormat serta wakil peringkat kawasan bagi memastikan kefahaman menyeluruh dan penyelarasan berkesan.
"Lebih membanggakan, bagi fasa awal pelaksanaan, institusi kewangan yang terlibat telah melaporkan pencapaian kutipan bayaran balik sebanyak 100 peratus bagi tempoh dua bulan pertama tahun 2026.
“Prestasi cemerlang ini menggambarkan tahap disiplin dan komitmen tinggi dalam kalangan penerima, di samping mengukuhkan keyakinan terhadap keberkesanan dasar kerajaan negeri dalam membina ekosistem keusahawanan yang berdaya saing dan mampan,” jelasnya.








