Penguatkuasaan kebersihan di Kelantan berjaya ubah sikap rakyat
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 23 April - Pelaksanaan penguatkuasaan di bawah Dasar Kelantanku Bersih yang berakhir penghujung tahun lalu berjaya mengubah sikap dan persepsi rakyat terhadap kepentingan menjaga kebersihan.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, pendekatan tegas melalui kompaun terhadap kesalahan pembuangan sampah mendapat sokongan penuh masyarakat.
Menurutnya, berbeza dengan tindakan penguatkuasaan lain seperti pelanggaran syarat pembinaan atau penjaja tanpa lesen yang sering menerima kritikan, tindakan kompaun terhadap kesalahan kebersihan kini dilihat wajar oleh orang ramai.
“Apabila kita keluarkan saman berkaitan pembuangan sampah, hampir 100 peratus rakyat menyokong tindakan penguat kuasa. Ini menunjukkan perubahan naratif dalam kalangan masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) ,Kota Lama YB Dr Hafidzah Mustakim yang bertanyakan tahap kejayaan pelaksanaan dan penguatkuasaan hukuman denda terhadap perbuatan membuang sampah secara tidak bertanggungjawab di seluruh Kelantan, pada Persidangan Kali Yang Pertama Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2026, hari ini.
Katanya lagi, pelbagai mekanisme dan inisiatif penguatkuasaan diperkenalkan termasuk penubuhan pasukan khas, operasi berjadual serta penggunaan teknologi seperti kamera litar tertutup (CCTV).
“Sebagai contoh, Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) melaksanakan operasi penguatkuasaan kebersihan tiga kali seminggu dengan fokus kepada premis perniagaan.
“Premis diwajibkan menyediakan tong sampah sendiri, selain pemantauan dilakukan melalui pemasangan 18 unit CCTV di lokasi strategik bagi mengesan pembuangan sampah haram,” jelasnya.
Menurutnya lagi, penggunaan CCTV bukan sahaja membantu penguatkuasaan, malah berperanan meningkatkan kesedaran awam melalui pendedahan kesalahan di media sosial.
Tambahnya, tahap kejayaan penguatkuasaan berbeza mengikut PBT, namun terdapat daerah yang menunjukkan pencapaian cemerlang.
“Majlis Daerah Machang (MDM) sebagai contoh, mencatatkan tahap kejayaan sehingga 80 peratus dan menunjukkan perubahan ketara dari segi kebersihan persekitaran,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, beliau mengakui terdapat kekangan dalam penguatkuasaan, terutama kesukaran mendapatkan bukti kukuh bagi mengenal pasti pesalah.
“Walaupun ada CCTV, ada kes nombor pendaftaran kenderaan tidak jelas atau pesalah menggunakan kenderaan orang lain, sekali gus menyukarkan tindakan kompaun,” katanya.
Dari segi statistik, pada tahun 2025, beberapa PBT mencatatkan jumlah kompaun yang berbeza bergantung kepada pendekatan masing-masing.
"MPKB-BRI mengeluarkan sebanyak 177 kompaun membabitkan jumlah RM85,500, manakala Majlis Daerah Ketereh- Perbandaran Islam (MDK-PI) mengeluarkan 10 kompaun bernilai RM5,000.
"Di Gua Musang, sebanyak 16 kompaun dikeluarkan oleh Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) dengan nilai RM8,000. Sementara itu, beberapa PBT lain lebih cenderung mengeluarkan notis amaran berbanding kompaun, antaranya Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM)dengan 33 notis dan Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK) sebanyak 16 notis," ujarnya.








