Kelantan laksana tujuh langkah strategik realisasikan Tahun Melawat Malaysia 2026
Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 23 April 2026 – Tujuh langkah strategik digerakkan Kerajaan Negeri Kelantan bagi merealisasikan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) sekali gus memperkukuh daya saing sektor pelancongan negeri di peringkat domestik dan antarabangsa.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamaruddin Md Nor berkata, pendekatan itu merangkumi aspek promosi, penganjuran acara, kerjasama strategik, penambahbaikan infrastruktur, pembangunan modal insan, pemerkasaan komuniti serta kelestarian destinasi pelancongan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bunut Payong YB Shaari Mat Yaman dalam Persidangan Kali Yang Pertama Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Ke-15 Tahun 2026 (Hari Ketiga), hari ini.
Menurutnya, antara langkah utama yang diambil ialah mempergiat promosi digital dan media sosial melalui penghasilan video promosi, kandungan kreatif serta kerjasama dengan pempengaruh pelancongan bagi memperluaskan capaian pasaran domestik dan antarabangsa.
“Kerajaan negeri turut menganjurkan pelbagai acara dan festival pelancongan seperti festival kebudayaan, makanan tradisional, sukan tradisional serta program berasaskan warisan bagi menarik lebih ramai pelancong ke Kelantan sepanjang tahun 2026,” katanya.
Tambahnya, kerjasama strategik turut diperkukuh melibatkan kerajaan negeri, agensi pelancongan persekutuan, pengusaha hotel, penggiat industri kreatif serta komuniti setempat bagi menyediakan pakej pelancongan yang lebih menarik dan kompetitif.
Dalam masa sama, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada penambahbaikan kemudahan dan infrastruktur pelancongan termasuk pemasangan papan tanda arah serta penambahbaikan pusat informasi pelancongan di lokasi strategik seperti Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Kubor dan Rantau Panjang.
Menurutnya lagi, usaha pembangunan modal insan turut dilaksanakan melalui penyediaan latihan dan kursus peningkatan kemahiran kepada pengusaha pelancongan serta pemandu pelancong bagi memastikan perkhidmatan yang lebih mesra, profesional dan berkualiti tinggi.
Selain itu, produk pelancongan berasaskan komuniti seperti homestay, kraf tangan, makanan tradisional dan ekopelancongan terus dipromosikan bagi memperkasakan ekonomi setempat serta memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Kerajaan negeri juga memberi penekanan terhadap aspek kebersihan dan kelestarian melalui kempen kesedaran di lokasi pelancongan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan bagi memastikan persekitaran yang kondusif kepada pelancong,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Datuk Kamarudin memaklumkan bahawa usaha promosi turut digerakkan melalui Pusat Penerangan Pelancongan Negeri (TIC) dan Majlis Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kelantan (MKN), termasuk penyertaan dalam misi promosi ke luar negara serta acara utama seperti Putrajaya Open Day, MATTA Fair, MAH Fair dan Kelantan Showcase MARA 2026.
Kerajaan negeri juga telah bersetuju untuk menjenamakan semula TIC kepada Tourism Kelantan sebagai langkah memperkukuh imej dan penjenamaan pelancongan negeri di peringkat lebih luas.








