TVET laluan penting intervensi pelajar YIK yang perlukan haluan kemahiran - Exco Pendidikan
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA DARULNAIM, 23 April — Kerajaan Negeri Kelantan melihat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai laluan penting yang perlu diperkasakan bagi menjadi intervensi berkesan kepada pelajar yang memerlukan haluan kemahiran, khususnya dalam menangani isu prestasi akademik rendah.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, pendekatan tersebut selari dengan usaha kerajaan negeri memperluas pilihan pendidikan yang lebih inklusif dan relevan dengan keperluan industri semasa.
“TVET mempunyai potensi besar sebagai intervensi utama kepada pelajar berprestasi rendah, namun pelaksanaannya di peringkat sekolah masih di peringkat awal dengan hanya dua sekolah terlibat setakat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pasir Tumboh YB Dato’ Abdul Rahman Yunus pada Persidangan Kali Pertama bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Ke-15 Tahun 2026, hari ini.
Menurutnya, antara langkah awal yang telah dilaksanakan termasuk pentauliahan program kemahiran di bawah Majlis TVET Negeri Kelantan dengan kerjasama institusi seperti Pertanian Kelantan Berhad (PKKB), TIASDEC serta rangkaian pondok dan tahfiz.
“Program operasi pengeluaran tanaman antara yang telah mendapat pentauliahan, termasuk pelaksanaannya di Maahad Muhammadi Gua Musang,” jelasnya.
Menurut Dato' Wan Roslan, pendekatan Akademik Dalam Industri (ADI) turut diperkenalkan bagi memastikan latihan kemahiran yang ditawarkan selari dengan keperluan industri.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa pelaksanaan intervensi terhadap sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) berprestasi rendah terus diperkasa melalui mekanisme pemantauan sistematik dan berfasa.
Menurutnya lagi, pendekatan tersebut merangkumi penempatan guru berpengalaman dan guru cemerlang, pelaksanaan kelas tambahan, klinik subjek kritikal serta program lonjakan akademik bagi meningkatkan prestasi pelajar.
“Prestasi peperiksaan menunjukkan peningkatan, termasuk pencapaian membanggakan apabila sekolah-sekolah termasuk Sekolah Menengah Ugama (Bantuan) berjaya melahirkan pelajar cemerlang sehingga mencapai keputusan 10A dalam SPM,” katanya.
Di samping itu, kerajaan negeri turut mempergiatkan kempen kesedaran pendidikan melalui hebahan media dan sesi penerangan bagi menarik kemasukan pelajar baharu, selain memperkukuh libat urus ibu bapa melalui program ziarah dan motivasi.
Tambahnya, pelbagai bantuan kebajikan turut disediakan termasuk insentif yuran, pakaian seragam serta sokongan kewangan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah melalui dana YIK dan agensi berkaitan.
Mengakhiri jawapan, beliau menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus memperluas pelaksanaan TVET secara berperingkat sebagai sebahagian daripada strategi pendidikan jangka panjang.








