Accessibility Tools

Skip to main content

e-Lesen Perikanan permudah urusan nelayan secara dalam talian

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA DARULNAIM, 23 April — Pelaksanaan Sistem e-Lesen Perikanan membolehkan permohonan dan pembaharuan lesen nelayan dibuat sepenuhnya secara dalam talian, sekali gus mempercepat urusan, menjimatkan kos serta meningkatkan kecekapan pengurusan sektor perikanan negeri.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada langkah pendigitalan menyeluruh yang dilaksanakan kerajaan negeri melalui Jabatan Perikanan Malaysia.

“Pendekatan ini menjadikan urusan lebih cepat, mudah dan menjimatkan kos kerana nelayan tidak perlu lagi hadir ke pejabat untuk urusan berkaitan lesen,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Semerak, YB Norsham Sulaiman pada Persidangan Kali Pertama bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Ke-15, hari ini.

Menurutnya, selain e-Lesen Perikanan, kerajaan turut memperkenalkan Sistem Fish Site Identification (FSI) yang menggunakan data satelit bagi membantu nelayan mengenal pasti lokasi penangkapan ikan dengan lebih tepat.

“Sistem ini bukan sahaja memudahkan nelayan menentukan kawasan tumpuan ikan, malah mampu mengurangkan kos operasi sehingga 30 peratus serta menjimatkan masa di laut,” jelasnya.

Tambahnya, Sistem Mobile Fish Vessel Record (MFVR) turut diperkenalkan bagi menyelaraskan maklumat vesel dan nelayan, sekali gus memudahkan pemantauan serta perkongsian data antara agensi berkaitan.

“Penggunaan kod QR sebagai identifikasi vesel juga dilaksanakan bagi meningkatkan ketepatan data dan memudahkan pemantauan oleh pihak berkuasa,” jelasnya.

Di samping itu, Sistem e-Logbook diperkenalkan bagi membolehkan pelaporan aktiviti penangkapan ikan dibuat secara masa nyata.

“Ia memberi kelebihan dalam analisis data serta membantu perancangan strategi pembangunan sektor perikanan secara lebih berkesan,” ujarnya.

Mengulas secara keseluruhan, beliau menegaskan bahawa usaha pendigitalan ini dilaksanakan secara bersepadu merangkumi sektor pertanian, penternakan dan perikanan.

“Program pendigitalan ini sebenarnya berjalan secara menyeluruh. Insya Allah sekiranya teknologi-teknologi ini kita gunakan secara lebih baik dan lebih meluas, sektor pertanian negeri Kelantan akan menjadi lebih mampan dan lebih terserlah,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!